Pentauliahan guru agama harus dikawal selia, telus

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng) mahu soal pentauliahan guru agama di negeri ini dikawal selia dan dijalankan secara telus.

Menurut Juanda, berdasarkan jawapan lisan sebelum ini, daripada 356 penerima tauliah hanya 146 orang tempatan manakala baki 210 orang adalah rakyat luar Sarawak.

Bilangan yang dari luar masuk ke Sarawak lebih ramai rupanya walaupun kita tahu mereka datang berkhidmat untuk tempoh yang singkat.

“Persoalan utama ialah apakah kawal selia sedia ada dalam pengeluaran tauliah ini telus? Kita tidak mahu anasir luar mudah masuk ke Sarawak.

“Cukuplah kita ada ramai graduan agama tempatan dan yang telah ada di Sarawak,” katanya dalam ucapan perbahasannya ke atas Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Isnin.

Tambah Juanda, sebagai bukti tidak ada kawal selia yang baik ialah kes penceramah dari Singapura yang tidak dapat tauliah mengajar agama di Singapura tetapi dapat tauliah di Sarawak.

Lebih jelas lagi katanya, di Masjid Semerah Padi baru-baru ini ada penceramah dari luar berceramah dan didapati tidak ada tauliah.

“Mohon menteri yang berkenaan respons perkara ini kerana kita bimbang penuluran fahaman yang tidak selari dengan penduduk tempatan menular masuk ke Sarawak.

“Kebimbangan ini ada asasnya sebab itu saya meminta agar semakan terhadap undang-undang Majlis Islam Sarawak dan Mahkamah Syariah disegerakan sebagaimana telah disebut dalam tiga sidang dewan sebelum ini,” katanya.

Juanda turut memohon penjelasan kerajaan negeri sama ada terdapat jangka masa untuk memastikan semua guru agama di sekolahsekolah seluruh Sarawak akan diisi sepenuhnya oleh guru agama daripada kalangan anak tempatan.

Beliau yakin perkara ini boleh diatasi jika ada perancangan yang teliti daripada kerajaan negeri dalam soal ini.

“Sebagai seorang muslim, saya agak prihatin dengan soal pendidikan keagamaan dalam negeri ini agar tidak terpengaruh dengan caca merba penafsiran agama yang datang dari luar Sarawak.

“Justeru, pendekatan inklusif Ketua Menteri dalam menguruskan hal ehwal semua agama di negeri ini wajar dipuji,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.