10 premis diberi amaran, gagal pamer senarai harga

Ekoran gagal mempamerkan senarai harga

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh MOHD NAZIB MACPEE

LAHAD DATU: Sebanyak 10 premis di sekitar pasar awam diberi amaran ekoran gagal mempamerkan senarai harga pada keseluruhan barangan yang dipamerkan untuk jualan menerusi operasi bersepadu Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), yang dilaksanakan di sini pada Selasa.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) daerah, Rino Hisham Abu Bakar berkata operasi itu bertujuan membanteras penjualan VCD cetak rompak, penguatkuasaan tanda harga dan alat timbangan serta aduan berkaitan penjualan minyak masak paket 1kg yang melebihi harga biasa.

“Sebanyak 70 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 10 premis telah diberi amaran kerana kegagalan meletakkan tanda harga dengan jelas pada barangan yang dijual,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dalam pada itu, Rino Hisham berharap agar para peniaga dapat menjaga etika ketika berniaga di samping memastikan penggunaan alat timbang yang tepat selain perlu memiliki lesen yang sah untuk menjual barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum (GMT).

Sementara itu, operasi yang bermula pada jam 9 pagi dan berakhir jam 11.15 pagi itu disertai seramai 65 pegawai dan anggota pasukan keselamatan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), Jabatan Imigresen Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

RINO Hisham (kanan) ketika melakukan pemeriksaan pematuhan tanda harga.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.