Lelaki bebas tuduhan edar dadah

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KOTA KINABALU: Seorang lelaki menarik nafas lega, apabila dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan mengedar dadah.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Tal Shuaib, 38, yang diwakili peguam Edward Paul.

“Setelah menilai semua bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan, disamping perkara yang dibangkitkan peguam.

“Selain membaca hujahan daripada kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh,” katanya.

Mahkamah membebaskan dan melepaskan Tal daripada pertuduhan berkenaan, tanpa dipanggil membela diri setelah kes berakhir pada peringkat pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah seberat 210.56 gram, pada 26 September jam 7.30 malam, di parkir kereta, University Plaza, Jalan Sulaman.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Sepanjang perbicaraan, enam saksi dipanggil pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan kes terhadap Tal.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Gan Peng Kun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.