MA63 adalah ‘Kontrak Sosial’

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

MUTAKHIR ini ‘Perjanjian Malaysia 1963’ (MA63) kembali menjadi topik popular di Sabah dan Sarawak.

Pelbagai pihak menyatakan pandangan dan hasil dapatan kajian mereka. Perlu diakui, tidaklah saya membuat kajian menyeluruh pandangan semua pihak. Melalui pengamatan sepintas lalu, hampir kesemua pihak, pada dasarnya, punyai pendirian yang sama iaitu hak, kepentingan dan ‘kedudukan istimewa’ Sabah dalam Persekutuan Malaysia itu perlu diiktiraf, dipelihara dan dijamin.

Bezanya mungkin kepada pendekatan dalam memperjuangkan nilai dan makna di sebalik status itu. Setiap pandangan perlu diraikan, selagi mana ia diungkapkan atas dasar kepentingan tanah air dan warganya.

Pada saya, status Sabah ini tidak wajar dilihat dalam lensa kepentingan kenegerian sematamata. Kerana hakikatnya, hak dan kedudukan itu tidak datang dengan sendirinya, tetapi melalui proses yang panjang. Ia juga bukanlah sekadar kehendak dan keputusan satu pihak ‘orang Sabah’, namun natijah permuafakatan, perundingan dan persetujuan perwakilan rasmi semua pihak berkepentingan; Sabah (Borneo Utara), Sarawak, Tanah Melayu, Sang Penjajah British dan Singapura pada masa itu.

Rentetan siri “Perundingan” telah menzahirkan ‘Persetujuan’ yang kemudiannya diikat dalam sebuah ‘Perjanjian’ yang mengandungi ‘Kontrak Sosial’. Perjanjian MA63 bukan sahaja asas atau tiang seri, tetapi adalah pasak kepada penubuhan Persekutuan Malaysia. Kontrak Sosial inilah yang menyimpul rapi permuafakatan dan memuktamadkan pembentukan negara bernama Malaysia pada tarikh keramat 16 September 1963.

Saya melihat Kontrak Sosial ini adalah kesinambungan daripada persetujuan yang dimeterai ketika penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1957. Intipati utama yang menjadi teras adalah permuafakatan melibatkan kaum-kaum utama di bumi Tanah Melayu pada masa itu iaitu Melayu, Cina dan India. Antaranya hak dan keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera dijamin serta dipelihara, dan kaum-kaum lain dianugerahkan taraf kewarganegaraan serta hak mereka juga dilindungi. Ini premis Kontrak Sosial versi 1957 yang masih terpahat kukuh.

Mungkin ada pihak yang tidak menyedari, pada tahun 1963, semangat ‘Kontrak Sosial’ itu telah diperkukuh, ditambah nilai dan dimurnikan melalui MA63 yang berakar umbi dari pelbagai peristiwa dan platform penting; antaranya Majlis Perundingan Perpaduan Malaysia (MSCC), Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). Prinsip dan terma Kontrak Sosial yang dipersetujui dalam MA63 itu akhirnya membawa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan terbentuklah Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Kontrak Sosial itu adalah landasan terbinanya peruntukanperuntukan khusus yang menggariskan kedudukan istimewa Sabah dan juga Sarawak dalam aspek-aspek tertentu, antaranya kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah serta Sarawak. Dengan menelaah satu persatu peruntukan Perlembagaan yang terlibat, pastinya kita akan dapat melihat perbezaan di antara Sabah dan Sarawak dengan negerinegeri lain.

Tidaklah pula perbezaan itu meliputi semua perkara. Bukan juga kita mahu status itu hanya kerana kita mahu dilihat berbeza. Tetapi ia lahir berlandaskan senario, lanskap dan fabrik sosial Sabah (Borneo Utara) yang jauh berbeza dengan Semenanjung Malaysia (Tanah Melayu) pada masa itu. Atas sebab itulah, majoriti penduduk di Sabah, yang sememangnya cenderung untuk bersama menubuhkan Malaysia, mahukan perlindungan tertentu meliputi hak dan keistimewaan dalam beberapa aspek untuk menjamin masa depan yang lebih baik apabila bergabung dengan entiti lain, yang lebih dahulu merdeka, membentuk sebuah Persekutuan Malaysia.

Akhirnya hasrat itu telah disepakati oleh pihak-pihak yang terlibat dalam perundingan dan ia menjadi ‘Kontrak Sosial Versi 1963’ yang termaktub dan dijamin oleh undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Saya berkongsi lipatan sejarah ini kerana saya yakin ada pihak kurang memahami atau terlepas pandang hakikat sebahagian peristiwa penting dalam tawarikh pembinaan tanah air ini. Inilah hakikat yang perlu difahami oleh semua; sama ada semua pihak berkepentingan di Sabah mahupun penggubal dan pelaksana dasar di peringkat Persekutuan.

Sebagaimana tekad dan iltizam untuk terus memperjuangkan hak dan keistimewaan Melayu dan bumiputera, Umno khususnya Umno Sabah sudah pasti akan tetap komited mempertahankan hak dan kepentingan negeri Sabah. Dalam fasal 3 Perlembagaan Umno terpahat dan tersurat bahawa Umno adalah sebuah parti yang berjuang untuk mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, NegeriNegeri dan Raja Berperlembagaan. Tidak semua parti siasah di Malaysia, mahupun di Sabah meletakkan perjuangan menjunjung keluhuran Perlembagaan ini secara jelas sebagai asas dan objektif penubuhan parti.

Selagimana Umno menjadi tonggak Kerajaan Barisan Nasional, status dan kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan akan terus terjamin dan terpelihara. YAB Tan Sri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah telah lama menegaskan kerajaan BN Sabah akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mempertahankan hak dan kepentingan Sabah. YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri telah memberikan komitmen bahawa beliau tetap mengiktiraf dan menjamin hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak. Tekad ini telah disusuli dengan mewujudkan platform di peringkat Persekutuan dan negeri untuk meneliti bentuk penghakupayaan yang sewajarnya diberikan kepada Sabah.

Pada masa yang sama, sebagai anak Sabah, kita perlu melihat persoalan survival dan masa depan dalam perspektif yang lebih luas dan bertepatan. Sebagai analogi, keberadaan Sabah dalam Malaysia umpama sepohon pokok yang subur dan rendang. Berbanding negerinegeri lain, kita mungkin adalah dahan yang besar dengan hasil lebat berbuah. Namun sedarilah dahan yang besar itu tidak akan dapat hidup dengan sendirinya tanpa batang pokok yang sihat dan kukuh.

Maka bukan sahaja dahan itu perlu dijaga, malah batang pokok itu juga amat penting untuk dilindungi dan disantuni sebaiknya. Dahan besar itu adalah Sabah, batang pokok itu adalah Malaysia dan akar yang mendasarinya adalah Perlembagaan Persekutuan yang turut melindungi hak dan kepentingan Sabah. “Di Bawah Bayu, Di Atas Mercu”.

konteks bentuk hubungan dan ARMIZAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.