Wanita Umno terima tugas komandan jentera PRU14

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KUALA LUMPUR: Wanita Umno sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai komandan jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketuanya Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Sambil menyatakan bahawa sayap parti itu telah bersiap sedia sejak empat tahun lepas, pemimpin ‘Ibu Terbaik Bangsa’ itu berkata kekuatan Wanita Umno adalah sentiasa di sisi rakyat.

“Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah serah tugas dan tanggungjawab kepada kita sebagai komandan jentera PRU. Bila-bila masa apabila presiden tiup semboyan PRU kita dah sedia,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

Shahrizat mengulas ucapan dasar presiden yang mengingatkan sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri supaya menggerakkan jentera serta turun padang untuk menggempur kubu lawan serta menawan hati rakyat.

Merujuk kepada ucapan Najib bahawa perjuangan Umno melangkaui agama, bangsa dan negara, Shahrizat berkata ia merupakan satu peringatan yang baik kerana selama ini perjuangan parti keramat itu adalah untuk semua rakyat Malaysia.

Katanya perdana menteri turut memberi pilihan kepada rakyat sama ada memilih kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang yang dikhuatiri akan mengangkat pemimpin cauvinis DAP, Lim Kit Siang sebagai perdana menteri. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.