Taylor Swift ungguli carta album untuk minggu ketiga

Utusan Borneo (Sabah) - - Hiburan -

PENYANYI sensasi Taylor Swift terus utuh di singgahsana carta album mingguan AS, Billboard 200 untuk minggu ketiga berturut-turut.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Nielsen Music, ‘Reputation’, terbaharu daripada Swift mencatat jualan 147,000 unit album lagi dalam minggu yang berakhir 30 November.

Di tempat kedua adalah album perayaan kumpulan acappella Pentatonix, ‘A Pentatonix Christmas’ manakala album terkini penyanyi British Sam Smith, ‘The Thrill of it All’ kekal di kedudukan No.3.

Satu-satunya kemasukan baharu dalam senarai 10 teratas carta Billboard 200 adalah album kolaborasi oleh penyanyi-penyanyi rap Jadakiss dan Fabolous, ‘Friday on Elm Street’ di kedudukan No.10.

Carta Billboard 200 menghitung unit daripada jualan album, jualan lagu (10 lagu sama dengan satu album) dan aktiviti striming (1,500 strim sama dengan satu album).

Di carta Lagu Digital, yang mengukur jualan single di atas talian, lagu cinta Ed Sheeran yang berjudul ‘Perfect’ berjaya mendaki ke tempat No.1 dari No.3 pada minggu sebelumnya dengan jualan hampir 60,000.

Penyanyi itu mengeluarkan versi baharu ‘Perfect’ pada 1 Disember, di mana dia berduet dengan penyanyi Beyonce. Sehingga Isnin lepas, lagu itu berada di tempat teratas dalam carta iTunes AS dan telah dilihat hampir 22 juta di YouTube. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.