10KG SYABU DIRAMPAS

Pasangan kekasih ditahan, nilai dadah RM750,000

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh VIVI OLVIANA NAJURUS

KOTA KINABALU: Polis menahan sepasang kekasih yang juga pengedar dadah dan berjaya merampas syabu seberat hampir 10 kilogram (kg) di Penampang, pagi Rabu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun berasal dari Sarawak di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium pada jam 11.15 pagi.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek menemukan empat plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu di dalam poket seluarnya.

“Pasukan polis kemudiannya mengarahkan suspek ke rumahnya di tingkat tujuh untuk tujuan pemeriksaan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah pada Khamis.

Ramli berkata pasukan polis kemudiannyamenahanseorang wanita warganegara China berumur 23 tahun dipercayai teman wanita suspek sebaik memasuki rumah suspek.

“Polis turut menemukan bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi lima paket plastik berwarna perak mengandungi dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan mencecah 9,175 gram.

“Pemeriksaan terhadap bagasi di rumah berkenaan menemukan syabu seberat 1,225 gram yang dimasukkan ke dalam 105 paket plastik lutsinar pelbagai saiz, 188 biji dadah jenis ecstacy dan dua paket lutsinar ketamin,” katanya.

Menurutnya jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM750,000 tidak termasuk sebuah kereta pacuan empat roda yang dinaiki suspek semasa ditahan di tempat letak kereta.

Selain dadah tambahnya, polis juga merampas wang tunai sebanyak RM155,000 yang ditemukan di rumah terbabit.

Dalam pada itu, Ramli berkata suspek yang dipercayai sudah aktif selama beberapa bulan lalu menggunakan modus operandi mengedar dadah menggunakan media sosial.

Katanya pelanggan yang ingin membeli diminta untuk memasukkan sejumlah duit ke dalam akaun suspek dan meletakkan dadah di satu tempat yang ditetapkan sebelum memberitahu lokasi terbabit menggunakan sistem penentu kedudukan global (GPS).

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek ini, kita percaya polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di kawasan Penampang dan Kota Kinabalu serta berjaya menyelamatkan tiga hingga lima ribu penagih dadah di sini.

“Polis juga akan melakukan operasi susulan bagi mengenalpasti jika terdapat rakan sejenayah suspek di luar,” katanya sambil menambah, suspek direman sehingga seminggu bermula Khamis untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

RAMLI (tengah) menunjukkan dadah di dalam bungkusan plastik berwarna perak yang dirampas di rumah suspek.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.