Dua lelaki didakwa menyeludup migran haram

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan kes terhadap dua lelaki dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, atas pertuduhan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Hakim Azreena Aziz membuat keputusan itu terhadap Kassim Ampulok, 26, dan Raisaltan Ajis, 42, yang didakwa mengikut Seksyen 26 J Atipsom 2007.

Kes berkenaan akan disebut di hadapan Penolong Kanan Pendaftar pada hari ini (Jumaat).

Raisaltan didakwa mengangkat lima migran haram, antaranya wanita dan bayi di dalam bot pam, pada 6 April jam 11 malam di kawasan pesisiran pantai Kampung Terongkongan, Kudat.

Sementara, Kassim didakwa menyeludup lima lelaki migran haram menggunakan sebuah kenderaan pada hari dan di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara selama lima tahun atau denda maksimum RM250,000, atau keduaduanya sekali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Khairuddin Idris tidak menawarkan jaminan diberikan kepada Raisaltan dan Kassim, di samping memohon kes terbabit dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Peguam Datuk Maijol Mahap mewakili Kassim, manakala Raisaltan yang tidak memiliki dokumen tidak diwakili peguam.

KASSIM (kanan) dan Raisaltan (kiri), keluar dari kamar mahkamah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.