Bekas presiden Gambia dituduh arah pembunuhan 50 pendatang Afrika Barat

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

ACCRA: Sebuah unit separa tentera yang dikuasai bekas presiden Gambia, Yahya Jammeh, semalam dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia mendalangi pembunuhan lebih 50 pendatang dari Afrika Barat pada 2005.

Human Rights Watch (HRW) dan TRIAL International berkata mereka menemu ramah 30 bekas pegawai Gambia, termasuk 11 pegawai dan seorang mangsa yang selamat dalam insiden itu, sebagai sebahagian daripada siasatan bersama.

Pendatang terbabit – 44 warga Ghana dan beberapa warga Nigeria, Senegal serta seorang warga Togo – ditangkap di sebuah pantai di Gambia ketika mereka cuba sampai ke Eropah, kerana disyaki menjadi askar upahan yang mahu menggulingkan Jammeh.

Menurut satu kenyataan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO), mereka ditahan di ibu kota Banjul dan diserahkan dalam kumpulan kepada “Junglers”, sebuah unit separa tentera yang kejam, dan dibunuh.

“Pendatang Afrika Barat itu tidak dibunuh oleh elemen penyangak, tetapi skuad maut separa tentera yang menerima arahan daripada Presiden Jammeh,” kata Reed Brody, penasihat undang-undang di Human Rights Watch.

“Orang bawahan Jammeh kemudian memusnahkan bukti penting untuk menghalang penyiasat antarabangsa daripada mengetahui tentang perkara sebenar.”

Satu laporan bersama oleh Komuniti Ekonomi Negara Afrika Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang tidak dimaklumkan kepada orang ramai, merumuskan pada 2009 bahawa pembunuhan dan kehilangan itu dijalankan oleh anggota pe-nyangak dalam badan keselamatan Gambia, tanpa sebarang bukti yang boleh dipercayai untuk membayangkan mereka bertindak atas arahan daripada pihak atasan.

“Bagaimanapun bukti baharu menjelaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab bagi pembunuhan itu adalah kumpulan ‘Junglers’,” HRW dan TRIAL menyebut dalam kenyataan mereka semalam.

Dalam kenyataan itu, Martin Kyere, satu-satunya mangsa dari Ghana yang diketahui selamat, memberitahu bagaimana kumpulannya diikat di belakang trak pikap. “Ketika itulah saya fikir, ‘kami akan mati’,” katanya. Namun dia berjaya me-loloskan diri dan lari ke dalam hutan, dan kemudian membantu pihak berkuasa Ghana mengenal pasti ramai mangsa.

Jammeh, yang memerintah selama 22 tahun dengan banyak pencabulan hak asasi manusia, tewas dalam pilihan raya presiden pada Disember 2016 kepada ketua pembangkang Adama Barrow.

Beliau lari dari negaranya pada bulan berikutnya dan pergi ke Equatorial Guinea, di mana beliau akhirnya akur dan menyerahkan kuasa. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.