KPSM tingkat pendapatan pekebun kecil

Utusan Borneo (Sabah) - - Utusan Sawit - Oleh Noor Asmawati Abdul Samad watie@mpob.gov.my

TELUK INTAN: Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) ditubuhkan di seluruh negara bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui penyatuan secara berkelompok pekebun kecil untuk menjalankan penanaman sawit mengikut Amalan Pertanian Baik dan jualan buah tandan segar (BTS) secara terus ke kilang.

Sehingga kini 43 Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) ditubuhkan di seluruh negara.

“Peruntukan sebanyak RM1.12 juta disediakan kerajaan bagi penubuhan KPSM. Sebanyak RM40,000 diperuntukkan bagi menubuhkan sebuah koperasi dan bagi memperkasakan peranannya, kerajaan juga memperuntukkan dana sebanyak RM200,000 bagi pembinaan pusat timbang BTS yang dikendali oleh KPSM,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC),DatukK.Yogeesvaran ketika berucap merasmikan Pusat Timbang KSPM Teluk Intan Berhad di sini, barubaru ini.

Katanya, kerajaan menyasarkan penubuhan 65 KPSM sehingga tahun 2020.

“Daripada 43 KPSM yang telah ditubuhkan, 25 telah memulakan jualan secara kelompok BTS terus ke kilang dan mencatatkan peningkatan harga jualan dan pendapatan pekebun kecil berbanding jualan melalui peniaga buah sawit.

Katanya, pembinaan Pusat Timbang KPSM Teluk Intan Berhad diyakini memberi manfaat secara langsung kepada pekebun kecil yang menyertai keahlian KPSM.

“Oleh itu, saya menggesa supaya lebih ramai pekebun kecil mendaftar keahlian KPSM untuk merebut faedah yang disediakan melalui kegiatan koperasi.

Beliau turut berkata, penganjuran program seumpama ini juga merupakan antara pendekatan turun padang kerajaan bertemu pekebun kecil selain memberi penerangan dan hebahan maklumat mengenai usaha meningkatkan sumbangan dan peranan pekebun kecil dalam penanaman sawit.

Katanya, tanaman sawit adalah komoditi pertanian utama negara dengan keluasan tanaman melebihi 5.8 juta hektar dan 40 peratus daripadanya diusahakan oleh 650,000 pekebun kecil.

“Kemajuan pesat industri sawit memberi manfaat dalam membangunkan ekonomi dan menyedia peluang pekerjaan kepada penduduk terutamanya di luar bandar.

“Industri sawit juga terus menerus mencatat pencapaian memberangsangkan terutama dari segi pengukuhan harga minyak sawit. Pengukuhan harga sawit penting bagi memastikan pendapatan pekebun kecil terus meningkat seiring dengan industri lain,” katanya.

Katanya, sejajar dengan usaha meningkatkan kemajuan industri sawit, kerajaan melaksanakan pelbagai program dan menyediakan insentif serta bantuan kepada pekebun kecil.

“Insentif dan bantuan yang disediakan ialah bagi meningkatkan produktiviti pengelauaran dan pendapatan pekebun kecil.

Katanya, antara yang disediakan ialah bantuan tanam semula dan tanam baru pekebun kecil, skim insentif integrasi tanaman dan ternakan dengan sawit dan bantuan bagi pengauditan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Beliau menambah, pelaksanaan pensijilan MSPO akan menjadi mandatori pada akhir tahun 2019 di seluruh rantaian pengeluaran industri sawit bermula di peringkat penanaman hingga pemprosesan minyak sawit bagi memastikan kemampanan dan kualiti produk sawit.

“Ini adalah strategi penting bagi memperkukuhkan imej industri sawit Malaysia dan memperluaskan pasaran minyak sawit di peringkat antarabangsa,” katanya.

MPIC bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) terus giat melaksanakan penerangan dan taklimat kepada pekebun kecil mengenai pelaksanaan dan pensijilan MSPO.

Yang turut hadir ke majlis berkenaan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Kushairi Din; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MPIC, Toisin Gantor dan Pengerusi KPSM Teluk Intan, Ibrahim Abdul Rahman.

Sempena majlis berkenaan, Datuk K. Yogeesvaran tutur menyampaikan bantuan integrasi tanaman dan ternakan kepada pekebun kecil sawit.

DATUK K. Yogeesvaran (tengah) memotong riben pelancaran pusat timbang KPSM Teluk Intan Berhad.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.