KPM perlu tangani isu kekurangan guru pilihan bahasa Iban: KGBS

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa Jawatankuasa Khas yang diwujudkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat melihat isu kekurangan guru pilihan bahasa Iban sebagai keutamaan dalam kajian mereka di negeri ini.

Presidennya Ahmad Malie mendedahkan, kekurangan guru mengikut pilihan khususnya guru pilihan bahasa Iban kini berjumlah 2,240 orang.

“Sekiranya guruguru pilihan bahasa Iban ini tidak ditangani secara komprehensif, ia pasti akan menjadi isu kritikal pendidikan di negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai usaha KPM mewujudkan Jawatankuasa Khas dalam menangani isu kekurangan guru terutamanya di Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak yang diumumkan Timbalan Menteri Teo Nie Ching barubaru ini.

Pada masa sama, Ahmad memberitahu KPM perlu mempertingkatkan pengambilan anak-anak Sarawak untuk dilatih sebagai guru di institut pendidikan guru (IPG) berkenaan bagi menampung kekurangan guru yang semakin meningkat saban tahun.

“Apabila guru-guru semakin ramai bersara dalam tempoh dua tahun akan datang jumlah kekurangan ini semakin meningkat,” katanya.

Selain itu, beliau menyarankan kerajaan menaikkan elaun sara hidup dan elaun tambahan kepada guru selain pemilihan dan penawaran kursus perguruan khsusus untuk anak Sarawak di IPG yang ada di negara ini.

Tambahnya, dalam situasi ini, pengekalan fungsi IPG khususnya IPG kampus di Miri dan Rajang, Bintangor di negeri ini adalah relevan.

“Sehubungan itu, kita menyambut baik dan menyokong sepenuhnya langkah kerajaan melalui KPM untuk menangani isu kekurangan guru terutamanya di negeri ini dengan mewujudkan Jawatankuasa Khas ini,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.