Utusan Borneo (Sabah)

MSM dijangka catat dagangan dalam jajaran kecil

-

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivative­s dijangka mencatat dagangan dalam jajaran kecil minggu ini berikutan peserta pasaran tidak pasti mengenai hala tuju pasaran, kata peniaga.

Peniaga Kanan Interband Group of Companies Jim Teh berkata harga minyak kacang soya yang rendah dan ringgit yang lebih kukuh, pulih sedikit daripada penurunan baru-baru ini, akan membendung kenaikan harga MSM.

“Kita akan menyaksika­n permintaan yang kukuh dari Timur Tengah, Pakistan dan China. Ini akan membantu meningkatk­an harga MSM pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Teh menjangka harga fizikal berada antara RM2,130 dan RM2,230 satu tan, manakala permintaan dijangka dari China, Pakistan, Timur Tengah dan Eropah pada minggu-minggu akan datang.

Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam kenyataan mengenai prestasi bulanannya pada Rabu menyatakan eksport minyak sawit negara merosot 8.11 peratus kepada 1.099 juta tan pada Ogos.

Jumlah stok minyak sawit meningkat 12.37 peratus kepada 2.488 juta tan daripada 2.214 juta tan pada Julai.

Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa berikutan cuti umum dan akan ditutup semula pada 17 September (Isnin) sempena Hari Malaysia. Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, September 2018 merosot RM7 kepada RM2,206 satu tan, Oktober 2018 susut RM22 kepada RM2,210 satu tan, November 2018 turun RM44 kepada RM2,222 dan Disember 2018 berkuranga­n RM47 kepada RM2,247 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 123,174 lot daripada 130,674 lot sebelum ini, manakala kepentinga­n terbuka naik kepada 305,584 kontrak daripada 284,244 kontrak minggu sebelumnya.

Di pasaran fizikal, September Selatan berada pada RM2,220 satu tan, susut RM10 daripada RM2,230 satu tan minggu sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia