Lima maut di plaza pelancongan Mexico

Lelaki bersenjata berkostum pemuzik mariachi lepaskan tembakan di Plaza Garibaldi

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

KOTA MEXICO: Lelaki bersenjata yang berpakaian seperti pemuzik mariachi melepaskan tembakan di Plaza Garibaldi yang masyhur di Kota Mexico, membunuh lima orang dan mencederakan lapan lagi termsuk seorang warga asing, kata pegawai penguatkuasaan undangundang kelmarin.

Lima penyerang terbabit melepaskan tembakan dengan raifal dan pistol sejurus sebelum jam 10.00 malam kelmarin ketika plaza di pusat bandar raya itu penuh dengan orang ramai yang meraikan Hari Kemerdekaan 16 September.

Penyiasat kemudian menjumpai 60 kelongsor peluru kosong di atas tanah.

“Lima orang terkorban dalam insiden di Plaza Garibaldi.

“Tiga lelaki maut di tempat kejadian dan dua wanita mati di hospital,” satu kenyataan pendakwa raya menyebut, untuk meminda selanjutnya bilangan kematian yang pada mulanya disebut sebagai tiga, dan kemudian empat.

Penembak lari dengan menaiki tiga motosikal, kata pejabat pendakwa raya Kota Mexico.

Muzik dan pesta diteruskan sehingga selepas ketua keselamatan awam di bandar raya itu, Raymundo Collins, muncul di tempat kejadian jenayah, rakaman video yag disiarkan oleh TV menunjukkan.

Collis menggambarkan serangan itu sebagai serangan bersasaran. Tiada maklumat dikeluarkan mengenai identiti mangsa asing.

Penyiasat tidak memberi motif bagi serangan itu, tetapi menyatakan dua lelaki yang dibunuh, berusia 36 dan 46 tahun, pernah disabit kesalahan atas tuduhan merompak.

Serangan itu akhirnya mengosongkan plaza, salah satu tarikan paling popular di Kota Mexico, selain restoran dan bar di lebuh berdekatan.

Kenderaan peronda polis kelmarin diletakkan di luar tempat yang biasanya meriah dengan pelanggan yang mahu membayar pemuzik mariachi untuk membuat persembahan.

Sehingga baru-baru ini, ibu negara Mexico selamat daripada keganasan berkaitan jenayah terancang yang memusnahkan bahagian lain di negara itu.

Kebanyakan serangan balas bersasaran berlaku di pinggir bandar atau di kawasan di mana geng jenayah beroperasi.

Plaza Garibaldi terletak dekat kawasan kejiranan Tepito di mana sebuah kumpulan samseng tempatan mengedar dadah di ibu negara yang mempuyai 21 juta penduduk.

Polis telah mengaitkan geng itu dengan kartel yang lebih besar seperti Generasi Baharu Jalisco.

Mexico dilanda gelombang keganasan sejak ia mengerahkan tentera untuk memerangi kartel dadah di negara itu pada 2006.

Sejak itu, lebih 200,000 orang sudah dibunuh, termasuk rekod 28,702 orang pada tahun lepas.

Seramai 37,000 lagi dilaporkan hilang. — AFP

PEMUZIK mariachi berbual di Plaza Garibaldi beberapa jam selepas serangan di persimpangan pinggir pusat pelancongan di Kota Mexico itu, kelmarin. — Gambar Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.