JBPM raih 11 emas pada Kejohanan Sukan Bomba Dunia

Pada Kejohanan Sukan Bomba Dunia

Utusan Borneo (Sabah) - - Sukan -

SEPANG: Kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakar kejayaan cemerlang apabila meraih kedudukan ketiga secara keseluruhan setakat ini dengan 11 pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada Kejohanan Sukan Bomba Dunia 2018 Chungju, Korea Selatan.

Kejayaan itu mengatasi sasaran awal JBPM iaitu lima emas, sekali gus mencatatkan pencapaian paling cemerlang sejak kontinjen negara menyertai kejohanan dwitahunan itu pada 2004.

Ketua Kontinjen Hamdan Ali berkata Malaysia telah menyertai lima acara iaitu badminton, tenpin boling, bina badan, golf dan dart yang diwakili 31 pegawai JBPM.

“Bagi saya kejayaan ini terhasil daripada latihan insentif yang dijalani, tambahan pula JBPM baharu sahaja mengadakan Sukan Bomba Malaysia sebelum berlepas ke Korea Selatan,” katanya ketika ditemui sebaik tiba di tanah air di sini pada Ahad.

Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata kejayaan pada kejohanan yang turut disertai anggota bomba dari lebih 60 negara itu adalah hasil kesungguhan anggota kontinjen dalam usaha mengharumkan nama negara.

“Walaupunkitamenghantar jumlah kontinjen yang kecil tetapi kita telah menduduki ranking ketiga di belakang Hong Kong dan Korea Selatan setakat ini,”katanya.

Pada kejohanan yang bermula 10 hingga 17 Sept itu, acara badminton membawa pulang empat emas menerusi Mohd Mursidi Nazri (perseorangan lelaki terbuka), Mustafa Abdul Hadi (perseorangan lelaki senior), Syed Hussin Syed Mustafa (perseorangan lelaki master) serta kategori beregu lelaki grand master diwakili A’azelan Hassan dan Zainal Abidin Nong Chik.

Selain itu, dua pingat emas diperoleh dalam acara sukan bina badan menerusi Rosliee Suyut dalam kategori 70kg80 kg manakala Ezam Aziery Mamat pula kategori 80kg90 kg.

Seterusnya JPBM meraih emas bagi acara tenpin boling menerusi Syuhada Mohd Sayuthi bagi acara individu wanita serta acara double terbuka oleh Tilmizi Mustafa dan Mustafa Ismail.

Tiga lagi emas dicatatkan dalam acara dart menerusi Mohd Nasir Jantan (perseorangan lelaki), Haliza Ismail (perseorangan wanita), serta gabungan kedua-dua pemain dalam acara beregu campuran.-Bernama

KONTINJEN Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menyertai Kejohanan World Firefighters Games 2018 di Chungju, Korea Selatan baru-baru ini, bergambar kenangan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

PEMENANG pingat emas dalam acara bina badan pada Kejohanan World Firefighters Games 2018 di Chungju, Korea Selatan Rosliee Suyut (kiri) dan Ezam Aziery Mamat bergambar sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.