KOLABORASI SABAH, S’WAK

Bangunkan bersama industri automatif

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

KUCHING: Sabah mahu bekerjasama dengan Sarawak dalam membangunkan industri automotif, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

Beliau berkata setakat ini kerajaan Sabah telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pengendali automotif tempatan di negeri itu dengan kemungkinan membangunkan sektor itu.

“Pada masa ini, kilang mengeluarkan alat ganti telah dibangunkan di Kota Kinabalu, Sabah dan saya harap beberapa komponen penting juga boleh didirikan di Sarawak,” kata beliau selepas melakukan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud di kediaman beliau di Demak Jaya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kolaborasi bersama untuk membangunkan industri automotif boleh direalisasikan kerana kedua-dua negeri itu mempunyai kepakaran dalam modal insan mereka.

Pada pertemuan itu, Mohd Shafie yang menyifatkan Abdul Taib sebagai “kawan rapat dalam arena politik”, turut berkongsi pandangan dengannya dalam menangani isu-isu ekonomi global.

Turut sama dalam kunjungan itu Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Jaujan Hj Sambakong, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony.

Hadir sama Puan Sri Ragad Alkurdi dan isteri Shafie, Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib.

SHAFIE (empat kanan) bergambar bersama Taib (lima kanan). Turut kelihatan Jaujan (tiga kiri), Yusof (dua kiri) dan Peter (kiri) serta Ragad Alkurdi (empat kanan) dan Shuryani Shuaib (tiga kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.