Gotong-royong platform budayakan kebersihan

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

KUNAK: Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong merupakan platform terbaik ke arah mengeratkan silaturahim, kerjasama serta membudayakan penjagaan kebersihan, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Norazlinah Arif.

Beliau berkata selain mengajak masyarakat ke arah kesedaran sivik dan budaya bersih, aktiviti itu juga akan dapat membina hubungan positif antara masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai program gotong royong anjuran Majlis Daerah Kunak dengan kerjasama kementerian itu di sini, pada Sabtu. Pada program itu lebih satu tan sampah berjaya dikutip di sekitar pekan Kunak.

Program itu turut dijayakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, Hospital Kunak, Jabatan Air Kunak dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Trash Hero Borneo.

Sementara itu, Pengasas Trash Hero Borneo, Monica Chin Hwa Chien menggesa masyarakat mengurangkan penggunaan bekas polisterin dan beg plastik bagi memulihara alam sekitar.

“Kami di Trash Hero Borneo bukan sahaja menjalankan aktiviti pembersihan, malah mendidik dan mengubah mentaliti komuniti mengenai pengurusan sampah di sekolah-sekolah, kampung dan pulaupulau,” katanya.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.