Petugas SPR, pihak lain lebih ramai daripada pengundi: Calon Bebas

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

PORT DICKSON: Calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa jumlah petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak lain yang tidak berkenaan lebih ramai berbanding jumlah pengundi yang hadir di pusat pembuangan undi.

Katanya perkara itu berdasarkan pemantauannya di beberapa pusat daerah mengundi setakat tengah hari Sabtu.

“Ini menunjukkan isyarat bahawa mereka tidak bersetuju dengan sebab pilihan raya ini diadakan,” kata bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, di sini.

Pada masa sama, Mohd Saiful Bukhari menyeru calon-calon yang bertanding agar turut bersamasamanya menggesa pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebelum pusat pengundian ditutup pada 5.30 petang Sabtu.

Sementara itu, Anwar yang bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada PRK ini berharap lebih ramai pengundi berbuat demikian mulai tengah hari Sabtu.

“Harapnya mereka akan keluar pada sebelah petang kerana sesetengah hotel memberi pelepasan kepada staf mereka pada sebelah petang,” katanya kepada Bernama selepas melawat ke Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Intan Perdana di sini pada Sabtu.

Sehingga 12 tengah hari, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sekitar 34 peratus.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.