K’jaan Negeri Sembilan akan bincang isu belia

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

SEREMBAN:Kerajaan Negeri Sembilan akan mengadakan sesi ‘town hall’ dengan persatuan belia di negeri itu bagi membincangkan masalah yang dihadapi oleh persatuan pada penghujung bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Taufek Abd Ghani berkata sesi tersebut yang dijadualkan pada 28 Okt ini akan dihadiri Menteri Besar Aminuddin Harun.

“Kita mahu melihat punca mengapa sesebuah persatuan belia itu tidak aktif, kita tidak mahu sesebuah persatuan itu hanya tinggal nama sahaja tanpa melakukan sebarang aktiviti memandangkan peranan belia penting dalam pembangunan negeri.

“Jadi kita adakan sesi perjumpaan bersama belia ini yang turut melibatkan mahasiswa agar kita dapat tahu masalah mereka di peringkat akar umbi,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) peringkat Negeri Sembilan, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Taufek berkata HSN perlu diteruskan dan diperkasa secara berterusan, bukan secara bermusim.

“Kita tidak mahu rakyat bersukan setakat hari ini sahaja, kita harap dengan penganjuran HSN ini dapat menyuntik semangat masyarakat di negeri ini untuk tetap terus aktif dalam kehidupan seharian mereka,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.