32 pelarian Syria diselamatkan terkandas di barat laut Beirut

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

BEIRUT: Pasukan tentera laut Lubnan dan sebuah pasukan tentera PBB telah menyelamatkan seramai 32 pelarian Syria ketika bot mereka telah mengalami kerosakan semasa mereka cuba untuk pergi ke Cyprus, menurut pihak tentera laut kelmarin.

Pasukan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan, UNIFIL, menyatakan ia telah menemui kapal tersebut pada pagi Khamis selepas menerima laporan mengenai sebuah bot yang hilang.

“Bot putih kecil”, membawa seramai 19 lelaki, enam wanita dan tujuh kanak-kanak, telah terkandas di laut barat laut Beirut, menurutnya.

“Bot itu telah kehabisan minyak dan para penumpang telah mengalami kehabisan makanan dan air selama empat hari,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Ia menyatakan kapal tentera laut Lubnan telah tiba dan membawa para penumpang ke Beirut pada malam Khamis.

Pihak tentera Lubnan menyatakan 32 rakyat Syria dan seorang rakyat Lubnan telah berada di atas kapal, dan telah cuba untuk pergi ke pulau timur Mediterranean secara ‘haram’.

Agensi pelarian PBB (UNHCR) telah menyenaraikan hampir sejuta pelarian Syria di Lubnan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.