Program Secangkir Kopi, Majlis Pelancaran Buku Baharu DBP

dapat sambutan menggalakkan

Utusan Borneo (Sabah) - - Sastera & Budaya -

PROGRAM SECANGKIR KOPI anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dapat sambutan yang menggalakkan.

Berlangsung pada 8 Oktober 2018, jam 9.30 – 11.30 pagi, di Dewan Pameran, Kompleks Karamunsing Kota Kinabalu, program bicara buku dalam bentuk santai ini diadakan sebagai salah satu pengisian acara Pesta Buku Borneo 2018.

Dua orang pembicara diundang, iaitu Datuk Jasni Matlani yang membentangkan makalah bertajuk Kembara Kayangan:Jamdin Buyong Memunculkan Sejarah dengan Makna Baharu dan Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat yang membentangkan makalah bertajuk Hari-hari Terakhir di Jesselton karya Ruhaini Matdarin - Satu Bacaan Neonostalgia.

Program berbentuk bicara buku ini mengetengahkan para penulis di Sabah khususnya bagi para penulis yang karyanya baru diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Hampir 150 orang telah menghadiri program Secangkir Kopi. Pengunjung dan peserta program juga tidak melepaskan peluang untuk membeli buku karya kedua-dua orang penulis berkenaan.

Majlis Pelancaran Buku Baharu DBP diadakan pada 9 Oktober 2018 bersempena dengan Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Borneo 2018. Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang selaku wakil rasmi Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob.

Program ini diharapkan dapat menjadi wadah untuk mempromosikan karya penulis Sabah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka kepada masyarakat khususnya masyarakat di Sabah.

Selain itu, melalui kedua-dua kegiatan ini juga diharapkan dapat mempopularkan penulis Sabah dan memartabatkan serta melestarikan sastera kebangsaan melalui penulisan kreatif.(Artikel sumbangan Mohd Almiey Mohd Ali)

JAMDIN dan Ruhaini pada merakam gambar bersama pada Majlis Pelancaran Buku Baharu DBP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.