KGBS bantah cadangan jadualkan cuti sekolah secara berperingkat

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING:Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) membantah cadangan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan supaya cuti sekolah dijadualkan secara berperingkat mengikut negeri.

Presiden KGBS Ahmad Malie berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia membawa lebih banyak keburukan (kontra) daripada kebaikan.

“Kami (KGBS) tetap membantah cadangan ini kerana ia lebih memikirkan keuntungan dari segi ekonomi sedangkan kesejahteraan keluarga yang terlibat secara langsung dalam perancangan cuti tersebut tidak diambil kira.

“Bagi KGBS, penjadualan cuti penggal sedia ada masih lagi yang terbaik dan relevan untuk guru. Sekiranya cuti penggal ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut negeri sudah pasti ia akan menimbulkan masalah yang besar kepada warga guru dalam merancangkan percutian mereka.

“Susulan daripada itu, ia secara langsung akan menimbulkan impak dari segi emosi kepada warga guru yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo pada Khamis bagi mengulas cadangan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Muhammad Bakthiar Wan Chik agar cuti sekolah dibuat secara berperingkat bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan, pada 9 Oktober lalu.

Cadangan pelaksanaan cuti berperingkat mengikut negeri itu juga kata Ahmad, ia sudah pasti akan menimbulkan kesulitan kepada warga guru merancang percutian khususnya mereka yang berjauhan dengan ahli keluarga masing-masing.

“Di samping itu impak dari segi pengajaran dan pembelajaran, sistem peperiksaan dan sebagainya perlu dipertimbangkan serta diteliti secara holistik sebelum sesuatu dasar seperti cadangan dasar cuti persekolahan ini dilaksanakan nanti.

“Kita tidak mahu dasar ini lebih mendatangkan masalah kepada guru dan murid sebagai pemegang taruh utama apabila ia dilaksanakan pada masa akan datang,” tegasnya.

AHMAD

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.