Anggota bomba harus patuhi, ikuti SOP ketika di lapangan

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

MUKAH: Setiap anggota bomba dan penyelamat harus mematuhi dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika di lapangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, ia demi keselamatan diri anggota yang terlibat dalam apa sahaja operasi.

“Saya nasihatkan semua anggota bomba dan penyelamat patuh kepada SOP dalam apa jua operasi,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian berdasarkan berpengalaman menjadi anggota bomba dan penyelamat selama setahun setengah.

“Saya pernah bertugas menjadi anggota bomba dan penyelamat sebagai penolong pegawai bomba di Bintulu suatu ketika dahulu,” jelasnya sambil memberitahu bahawa anggota bomba dan penyelamat sentiasa dekat di hatinya.

Abdul Yakub juga menyatakan kesedihan tidak terkira dengan berita kehilangan enam anggota bomba dan penyelamat terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat di Puchong, Selangor pada 3 Oktober lalu.

Salah seorang anggota terkorban, Yahya Ali, 24, berbangsa Melanau berasal dari Kampung Tian, Matu.

Allahyarham Yahya bertugas selama empat tahun sebagai anggota bomba dan penyelamat.

Berikutan kejadian menyayat hati itu, kerajaan Sarawak pada Rabu memberi sumbangan RM10,000 kepada keluarga Allahyarham selain bantuan bulanan RM300 kepada keluarga serta RM350 bantuan bulanan kepada nenek Yahya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.