Anak kuda belang tarikan terbaharu di Lost World Of Tambun

Utusan Borneo (Sabah) - - Horizon -

ANAK kuda belang yang diberi nama gelaran ‘Zuzu’, haiwan peliharaan yang dilahirkan di Lost World Of Tambun (LWOT) di Ipoh pada 11 September lepas menjadi tarikan terbaharu di taman tema air itu.

Pengurus Besar LWOT, Nurul Nuzairi berkata Zuzu, kelahiran pertama kepada pasangan Zoey (ibu) dan Zack (bapa), yang dibawa dari benua Afrika dua tahun lepas, diperkenalkan kepada umum Sabtu lalu sempena Hari Haiwan Sedunia dua hari lepas.

“Ibu Zuzu berumur tiga tahun manakala bapanya berumur empat tahun. Kebanyakan haiwan, dari segi pembiakan sebenarnya berada di dalam keadaan yang baik, kita mempunyai beberapa haiwan yang melahirkan bakanya di sini,” katanya.kepada pemberita selepas program memperkenalkan Zuzu di Ipoh yang turut dihadiri Pemangku Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Wan Shahruddin Wan Nordin.

Nurul berkata pihaknya sentiasa bekerjasama rapat dengan PERHILITAN termasuk berkongsi maklumat, data video bagi memastikan kesemua haiwan yang berada di bawah jagaan LWOT berada dalam keadaan baik.

Sebanyak 890 haiwan dari 55 spesies terdapat di ‘Lost World Petting Zoo’.

LWOT, yang mempunyai sembilan tarikan utama termasuk tiga tarikan pada waktu malam, dibuka enam hari seminggu dari jam 11 pagi hingga 11 malam kecuali Selasa 6.00 petang hingga 11 malam, dan 10 pagi hingga 11 malam cuti hujung minggu. — Bernama

ANAK Zebra yang pertama dilahirkan ditampilkan kepada para pengunjung di The Lost World of Tambun di Ipoh. — Gambar Bernama

ANAK Zebra tersebut diberi nama Zuzu (depan) yang dilahirkan ibunya Zoey (belakang) pada 11 September baru-baru ini menjadi daya tarikan terbaharu buat pengunjung yang hadir di Ipoh. — Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.