Terokai Sarawak, Vietnam, Kemboja dan Indonesia dalam ‘Destinasia’ di TV1

Utusan Borneo (Sabah) - - Hiburan -

JIKA anda sedang merancang untuk bercuti dalam negara atau pun ke negara Asia, pastikan anda meluangkan masa menyaksikan program travelog ‘Destinasia’ yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai 17 Oktober ini, setiap Rabu, jam 9.00 malam di TV1.

Bersama-sama hos Syafiq Nazri, program 13 episod ini membawa anda menjelajah ke beberapa lokasi pilihan di Asia untuk menghayati dan menikmati kekayaan ekopelancongan yang merangkumi alam sekitar, sejarah, budaya dan gaya hidup masyarakat setempat.

Pada masa sama dapatlah anda merancang aktiviti menarik yang boleh dilakukan seperti yang dikongsikan dalam program ini.

Terdapat banyak lokasi menarik yang boleh anda kunjungi bermula dalam negara seperti episod kunjungan mereka di Sarawak antaranya daerah Mukah, Padawan, dan Kuching.

Manakala perkongsian di negara Asia yang lain pula merangkumi daerah Huang Minh, dan Hanoi (Vietnam), Siem Reap, dan Phnom Penh (Kemboja) juga menikmati panorama indah di Bali, Indonesia.

Di daerah Mukah, Sarawak, hos rancangan membuat lawatan eko-pelancongan dengan berkongsi pengalaman menghayati keindahan alam semulajadi di situ dan gaya hidup orang Melanau.

Sago yang menjadi makanan utama orang Melanau dan cara memasaknya dan kuih tabaloi, pengalaman menaiki perahu sempit dan kecil di Sungai Mukah, mencari pokok rumbia, ulat sago dan berkongsi cara membuat topeng dari pelepak pokok rumbia.

Turut dikongsikan kisah asal usul Pekan Mukah, pasar basah Mukah, persembahan tarian tradisi oleh kumpulan Sri Ritma Borneo, Lamin Dana (rumah lama orang Melanau) dan Jerunai (tugu peringatan orang Melanau).

Syafiq kemudiannya melawat kawasan di sekitar Padawan, Sarawak menemui kaum etnik Bidayuh dan dapat peluang menghayati Rumah Panjang Bidayuh yang juga diusahakan sebagai program pelancongan Homestay.

Selain itu, beliau melakukan aktiviti membuat kraft tangan dan juga mengunjungi kaum Penan dan kumpulan etnik Iban. Beliau mencuba pakaian tradisional, makanan seperti ‘char koay teow’ cangkuk manis serta pertandingan layar perahu kecil yang digelar Jong. Menariknya Syafiq juga berkesempatan melawat Kampung Budaya di Sarawak.

Melengkapkan perkongsian menarik di Sarawak adalah kunjungannya di Kuching, memperkenalkan tempattempat dan aspek sosio-budaya orang tempatan yang menarik. Sebahagian dari tempat ini juga menjadi destinasi pelancong dalam dan luar negara.

Paparan menarik di sini termasuklah Jong’s Crocodile Farm and Zoo, Pasar Satok dan penjualan ikan terubuk masin, pakaian tradisional suku kaum Sarawak, muzik sape, sungaisungai di Sarawak sebagai lebuh raya dan nadi kehidupan orang Sarawak, Muzium James Brooke, Tanoti House dan tenunan Songket Sarawak serta makanan tradisional seperti laksa Sarawak, mi kolok dan lemang Bertawi.

Seterusnya perjalanan ke Vietnam meninjau budaya dan gaya hidup masyarakat tempatan serta menghayati keindahan alam semulajadi yang terdapat di negara itu bermula dengan kunjungan ke daerah Huang Minh, berkongsi mengenai beberapa tempat terkenal seperti Gunung Bai Te dan Pusat Kraftangan Chen Thien Minh.

Liputan khusus diberikan mengenai Teluk Hulung satu Tapak Warisan Dunia seluas 1557 kilometer persegi di mana terdapat 1969 pulau-pulau kecil. Pulau-pulau ini mempunyai gua-gua yang menarik dan unik. Turut dipaparkan ialah perniagaan terapung dari bot yang dijalankan oleh kaum wanita Vietnam yang menjual pelbagai cenderamata kepada pelancong.

Tidak lengkap kiranya tidak melawat Hanoi, ibu negara Vietnam. Di antara tempattempat yang dipaparkan ialah Dataran Ho Chi Minh, Tasik Ho Hong Kiam atau Tasik Pedang dan Kuil Ngoc Son yang terletak dalamnya, Perkampungan Tradisi Duong Lam yang memperlihatkan cara hidup tradisional zaman dahulu di Hanoi, khazanah alam semulajadi yang terdapat di kampung itu, produk-produk kraftangan seperti perabot dan Penjara Hoa Lo yang kini menjadi muzium.

Keterujaan melawat negara Asia yang lain diteruskan dengan kunjungan ke bandar Siem Reap di Kemboja meninjau cara hidup, budaya, sejarah, warisan dan aktiviti ekonomi penduduk tempatan. Hos sempat berinteraksi dengan penduduk beragama Islam di Siem Reap yang menunaikan sembahyang di Masjid Anneak Mah, Kg Steung. Turut dikunjungi Happy Ranch Resort yang membela kuda sebagai tarikan pelancong.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.