BAJET SABAH RM4.16B

Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM4.16 bilion bagi Belanjawan Sabah 2019 dengan mencatatkan lebihan sejumlah RM105.32 juta. Bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan

Rakyat’, belanjawan lebihan itu menunjukkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) memulakan pentadbirannya dengan rekod terbaik. Ia adalah belanjawan pertama kerajaan baharu pasca pilihan raya umum ke-14 Mei lepas.

Menerusi bajet itu, kerajaan mencadangkan peruntukan perbelanjaan berjumlah RM4.16 bilion berbandiang anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.27 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika membentangkannya di DUN Sabah pada Jumaat berkata kerajaan kini akan melaksana berbagai agenda dan program pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan ingin melihat rakyat menikmati manfaatmanfaat dari segi ekonomi, termasuk pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam supaya semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia, wanita, orang tua, orang istimewa serta orang awam keseluruhannya mudah memperoleh pekerjaan ataupun peluang-peluang berniaga, yang mana ini akan mewujudkan

‘multiplier effect’ kepada ekonomi kita.

“Ini bermakna kerajaan telah merangka bajet berkedudukan lebihan atau

‘surplus budget’ melibatkan jumlah RM105.32 juta yang mana ini penting dalam mengekalkan kestabilan kewangan negeri.

“Lebihan itu melibatkan kenaikan RM40.43 juta atau bersamaan 62.31 peratus berbanding tahun 2018 dan merupakan jumlah lebihan paling tinggi sejak 5 tahun yang lalu,” katanya.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata,kutipan Hasil Kerajaan Sabah dianggarkan berjumlah RM4,265 juta pada tahun 2019. Jumlah ini melibatkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus berbanding anggaran tahun 2018 sebanyak RM4,169.2 juta.

Katanya, Anggaran Hasil bagi tahun 2019 diklasifikasikan kepada tiga kategori utama iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

“Daripada jumlah keseluruhan kutipan hasil itu, sebanyak RM1,125.6 juta atau 26.4 peratus adalah Hasil Cukai; RM2,735.9 juta atau 64.1 peratus adalah Hasil Bukan Cukai; dan RM403.5 juta atau 9.5 peratus adalah Terimaan Bukan Hasil.

“Royalti petroleum dijangkakan kekal menjadi penyumbang tertinggi dengan sumbangannya merangkumi 37.5 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran hasil tahun 2019 dengan sasaran sebanyak RM1,600 juta.

“Ini adalah berdasarkan kepada bayaran yang telah diterima oleh Kerajaan pada tahun 2018 sebanyak RM1,606.6 juta. Untuk makluman, jumlah itu merupakan amaun tertinggi yang telah diterima dalam sejarah Sabah setakat ini.

“Jumlah berkenaan juga adalah melebihi anggaran tahun 2018 sebanyak RM1,318 juta, berikutan peningkatan harga dan pengeluaran komoditi berkaitan,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Air Sabah telah mengutip hasil sebanyak RM66.8 juta dalam tempoh tiga bulan daripada bulan Ogos sehingga penghujung Oktober 2018 setelah pentadbirannya dirombak dan distrukturkan semula.

Katanya, dengan penambahbaikan pentadbiran dan pengurusan itu, Jabatan Air akan dijangka mengutip hasil sebanyak RM330.2 juta pada tahun 2019.

Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata, amaun itu merangkumi 7.7 peratus daripada jumlah keseluruhan anggaran hasil tahun berkenaan.

“Peningkatan kutipan hasil ini sudah tentu akan membantu Kerajaan menyediakan peruntukan yang lebih tinggi bagi membiayai program-program peningkatan kualiti, liputan dan bekalan air terawat di kawasan luar bandar yang masih lagi jauh daripada memuaskan,” katanya.

SHAFIE (duduk) dalam sidang media selepas membentangkan Bajet Sabah 2019 pada Jumaat. Turut kelihatan dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau (dua kiri) dan Datuk Jaujan Hj Sambakong (tiga kiri) serta beberapa anggota Kabinet negeri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.