Belanjawan Sabah 2019 bersifat mesra rakyat: Jaujan

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - - Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Belanjawan Sabah 2019 disifatkan mesra rakyat walaupun keseluruhannya lebih tertumpu kepada memantapkan pentadbiran negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong (gambar) berkata, pentadbiran kerajaan yang dimantapkan termasuklah mewujudkan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) terhadap kakitangan awam dan juga Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

“Kedua-dua perkara ini perlu disusun dan dimantapkan kerana sebelum ini wujud pelbagai isu bukan sahaja berkaitan amalan rasuah, ketirisan tetapi juga berkaitan tanggungjawab, komitmen dan integriti.

“Sekiranya dilihat, walaupun ada Bajet tetapi sasaran dalam kerajaan tidak dapat dilaksanakan, maka hasilnya juga tidak dapat dicapai,” katanya ketika ditemui selepas Pembentangan Belanjawan Sabah 2019, di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Beliau berkata, pelaksanaan yang wujud tetapi tidak seperti diharapkan menyebabkan penyusunan semula GLC dan perkara berkaitan.

Katanya, GLC antara agensi yang boleh menyumbangkan pendapatan kepada kerajaan dan sekiranya gagal disusun, ianya akan memberikan kesan negatif kepada hasil negeri.

“Oleh itu, kepimpinan GLC dipilih dari kalangan profesional dari rakyat Sabah yang mempunyai kemahiran dan pengalaman untuk merealiasasikan harapan kerajaan untuk majukan GLC.

“Sekiranya GLC tidak produktif...sebab itu cadangan untuk mengabungkan GLC diwujudkan...dari sini kita dapat lihat Bajet kali ini lebih kepada mantapkan pentadbiran kerajaan dan juga GLC Sabah,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, KPI turut diberikan kepada setiap wakil rakyat selain Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah.

Menurutnya, KPI itu sekaligus mampu meningkatkan kualiti kerja PBT dan juga wakil rakyat dalam usaha memajukan kawasan masing-masing.

“Selepas semua Ahli Majlis semua PBT negeri ini dilantik, kita akan adakan bengkel untuk membincangkan bagaimana untuk meningkatkan keupayaan PBT.

“Tugas PBT bukan sahaja merancang dalam daerah masing-masing tetapi yang lebih penting adalah bagaimana untuk menjana pendapatan agar tidak lagi bergantung dengan geran kerajaan,” katanya.

Katanya, PBT perlu kembali kepada penubuhan asal PBT yang mencari pendapatan sendiri, sekiranya ianya berjaya dicapai, perkara itu sekaligus menjadi tanda aras KPI yang ditetapkan kerajaan.

“Kita juga akan memikirkan pendekatan baharu untuk mengutip cukai-cukai perkadaran disetiap PBT yang mana kini dianggarkan sebanyak 70 peratus tertunggak,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.