RM4,159.68 juta dicadang untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2019, lancarkan pengurusan

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - - YAP SIONG HAN Oleh

KOTA KINABALU: Sebanyak RM4,159.68 juta dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan Tahun 2019 bagi melancarkan lagi pengurusan kerajaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jumlah itu melibatkan peningkatan sebanyak RM55.33 juta atau 1.35 peratus berbanding dengan anggaran asal tahun 2018 sebanyak RM4,104.35 juta.

“Jumlah itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Perbelanjaan Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan Perbelanjaan Khas.

“Daripada jumlah keseluruhan Anggaran Perbekalan 2019 itu, sejumlah RM742.14 juta disyorkan untuk Emolumen.

“Jumlah ini mencatatkan penurunan sebanyak RM21.53 juta atau 2.82 peratus berbanding dengan anggaran tahun 2018 berjumlah RM763.67 juta.

“Satu daripada sebab utama penurunan ini ialah pengurangan pembayaran gaji ekoran ramai kakitangan dan pegawai Kerajaan Sabah yang telah dan akan bersara. Selain itu, pengambilan pegawai dan kakitangan baharu juga melibatkan pembayaran gaji yang lebih rendah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2019, di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Beliau berkata, Perbelanjaan Berulang disyorkan sebanyak RM1,371.94 juta untuk tahun 2019. Jumlah itu melibatkan peningkatan sebanyak RM71.09 juta atau 5.46 peratus berbanding anggaran tahun 2018 sebanyak RM1,300.85 juta.

Katanya, Kenaikan Perbelanjaan Berulang itu diperlukan bagi menampung kenaikan kos operasi yang antaranya disebabkan oleh pewujudan sebuah kementerian baharu sepenuhnya iaitu Kementerian Undang-undang dan HalEhwal Anak Negeri serta Pejabat Daerah Kalabakan.

“Perbelanjaan Khas pula telah disyorkan sebanyak RM2,045.60 juta untuk tahun 2019. Jumlah ini meningkat sebanyak RM5.77 juta atau bersamaan 0.28 peratus berbanding anggaran tahun 2018 yang berjumlah RM2,039.83 juta.

“Peningkatan Perbelanjaan Khas tahun 2019 adalah untuk pembelian kenderaan dan perahu, pengurusan loji air di bawah Kontrak Outsource dan pembelian air dan perbelanjaan berkaitan dengan penswastaan air serta caruman kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan sebanyak RM800 juta.

“Sebanyak RM380 juta lagi diperuntukkan bagi menambah caruman ke dalam Kumpulan Wang Amanah untuk membolehkan pembayaran balik bon yang akan matang pada hujung tahun 2019,” katanya.

Gambar BERNAMA

TIMBALAN Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong (kanan) yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membincangkan sesuatu dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick sebelum pembentangan belanjawan negeri Sabah 2019 bertemakan‘Memacu Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat’di bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah, Jumaat. -

WAKIL RAKYAT pembangkang (dari kiri) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun semasa menghadiri Persidangan DUN Sabah, Jumaat.

ADUN Nabawan, Datuk Bobbey A. Suan (kiri) bersama Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif (Membakut) dan Datuk Haji Ghulam Haidarkhan Bahadar(berdiri) semasa menghadiri Persidangan DUN Sabah.

Gambar BERNAMA

MENTERI Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony (kanan) membincangkan sesuatu dengan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong sebelum pembentangan belanjawan negeri Sabah 2019. -

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.