Pemaju disaran aplikasi teknologi hijau

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh SADDAM EDRIS

KOTA KINABALU: Pihak pemaju disarankan supaya mengaplikasi teknologi hijau di setiap bangunan atau premis yang didirikan, selain mengguna pakai teknologi pintar dalam aspek pembangunan perumahan.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha ini penting bagi membawa Sabah bergerak selangkah ke hadapan, ke arah inovasi dan pewujudan premis-premis mesra alam sekaligus akan mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita sentiasa mengalu-alukan dan menyambut baik usahausaha pihak pemaju untuk menyediakan perumahan yang berkualiti dan terbaik untuk rakyat.

“Aspek ini amat penting, seiring dengan usaha kerajaan untuk melaksanakan pembangunan negeri secara holisitik, sesuai dengan hasrat dan matlamat kita untuk menjadi negeri dan negara maju suatu hari nanti,” katanya pada Majlis Perasmian K-Avenue Sodomon, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Jaujan Sambakong.

Sementara itu Shafie berkata, pelancaran KAvenue oleh Syarikat Mega City Avenue Sdn Bhd pada Sabtu bakal menyaksikan sebuah kawasan perumahan moden yang dibangunkan di kawasan berkenaan.

Katanya, projek baharu ini akan berupaya melengkapkan perkembangan masa depan Kota Kinabalu.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan menyokong inovasi, seperti yang terdapat dalam K-Avenue ini.

“Tentunya usaha pembangunan projek ini akan meletakkan kedudukan perniagaan di negeri ini berada pada kedudukan yang lebih baik, seterusnya meningkatkan pertumbuhan ekonomi, serta mewujudkan banyak peluang keusahawanan untuk belia dengan kewujudan pusat komersil di kawasan ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap ia bakal memberi manfaat kepada rakyat khususnya kepada golongan sasar bukan sahaja untuk memiliki rumah sendiri, bahkan untuk tujuan komersil.

Selain itu, Jaujan mengingatkan pihak pemaju supaya mengambil kira pelbagai aspek dalam pembinaan konsep perumahan terutamanya melibatkan golongan kelainan upaya (OKU).

Katanya, satu inisiatif baharu harus difikirkan bersama dalam memikirkan konsep yang sesuai bagi keperluan golongan terbabit.

Hadir sama ialah Pengarah Syarikat Mega City Avenue Sdn Bhd George Yong, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan George Hiew Vun Zin, dan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Chong Chen Bin.

JAUJAN (tiga kanan) mewakili Ketua Menteri melancarkan Perumahan K Avenue. Turut sama, Junz Wong (dua kanan), Chong dan George Hiew (dua kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.