100 pokok ditanam hijaukan bandar Taiping

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

TAIPING:Seratus pokok ditanam oleh Majlis Perbandaran Taiping (MPT) di Jalan Pasar, Jalan Berek dan Jalan Panggong Wayang di sini pada Sabtu dalam usaha menghijaukan bandar warisan itu.

Anggota Parlimen Taiping Teh Kok Lim berkata MPT menanam dua jenis pokok iaitu Peltophorum Pterocarpum atau lebih dikenali sebagai copperpod atau

yellow-flame manakala pokok kedua ialah

Garcinia subelliptica yang juga dikenali sebagai Happiness Tree.

Beliau berkata setiap pokok yang ditanam itu dijangka mampu mengurangkan 20.3kg pengeluaran karbon setahun yang akan menjadikan pengeluaran karbon sebanyak 2,003kg setahun iaitu melebihi dua tan setahun.

“Ini akan memberikan impak kepada masyarakat tetapi kesannya akan menjangkaui jangka hayat kita,” katanya pada majlis perasmian program Ikrar Untuk Menanam Pokok 2018 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPT Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata dalam era pembangunan mampan kini, kita tidak boleh memandang enteng terhadap elemen-elemen semula jadi terutamanya yang melibatkan kelestarian alam sekitar.

“Justeru itu MPT amat menyokong program kempen penanaman pokok seperti ini dan saya berharap agar ia menjadi satu terapan dan budaya kepada setiap individu untuk menjamin kehidupan yang seimbang dari sudut kesejahteraan bandar dan alam sekitar,” katanya.

Katanya, penglibatan dan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar juga perlu diterapkan dalam kalangan generasi muda khususnya murid sekolah dan pelajar.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.