Tiada jawatan tertinggi diberikan kepada Mustapa: Dr Mahathir

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

KOTA BHARU: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada jawatan tertinggi kerajaan yang akan ditawarkan kepada bekas menteri kabinet dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamad selepas pemimpin itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dr Mahathir berkata menjadi dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak menawarkan jawatan bagi tempoh tertentu kepada mana-mana bekas pemimpin Umno.

“Mereka mesti bersihkan diri daripada amalan kerajaan terdahulu dan (kami) akan melihat tempoh tertentu buat mereka (pegang jawatan),” katanya kepada pemberita selepas majlis beramah mesra dengan pemimpin PH Kelantan di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Pengerusi PH Kelantan Senator Datuk Husam Musa.

Dr Mahathir juga menjelaskan mana-mana pemimpin dan anggota Umno yang berhasrat menyertai PH, walaupun pada masa yang sama penyertaan mereka dialu-alukan, tetapi perlu menerima prinsip yang diperjuangkan PH.

Ditanya tentang jumlah royalti petroleum kepada Kelantan, Dr Mahathir berkata beliau masih meneliti perkara itu kerana perlu melihat pelbagai sudut sebelum membuat keputusan.

Menyentuh mengenai nasib nelayan, petani dan pekebun kecil yang bakal terjejas pada musim tengkujuh ini, beliau berkata kerajaanakanmencarikaedah sesuai untuk membantu mereka.

“Pemberian insentif bukan jalan terbaik seperti yang diberikan oleh kerajaan terdahulu kerana kita mahu mereka ada jalan usaha untuk mengatasi masalah itu,” katanya.

Mengenai genap enam bulan kerajaan PH memerintah negara, Dr Mahathir berkata beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi kerajaan dan banyak perkara yang perlu diberi perhatian terutama dalam usaha membantu rakyat.

“Kalau tanya saya memanglah tidak berpuas hati lagi tetapi usaha yang kita lakukan telah memperlihatkan rakyat gembira dan ceria terutama dalam usaha membasmi rasuah,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata berdasarkan prestasi keseluruhan anggota kabinet yang dibentuknya, beliau yakin menteri-menteri berkenaan akan sentiasa meningkatkan prestasi daripada semasa ke semasa.

“Saya sentiasa berjumpa dengan mereka dan berbincang mengenai bagaimana mereka boleh menyelesaikanpermasalahan dan meningkatkan prestasi,” katanya.- Bernama

DR MAHATHIR menerima borang keahlian Bersatu daripada 14 Bahagian seluruh Kelantan yang diterima daripada Pengerusi Bersatu Negeri Kelantan Datuk Kamaruddin Mohd Nor (kanan) pada Majlis Beramah Mesra Perhimpunan Pakatan Harapan Kelantan sempena lawatan sehari beliau ke Kelantan, pada Sabtu.Turut hadir Naib Presiden Bersatu Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman ( kiri). -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.