Pakar Paroi dijenamakan semula sebagai MyAgroNiaga

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

SEREMBAN: Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) di Paroi dijenamakan semula sebagai MyAgroNiaga atau Pasar Tani Kekal Paroi, yang berfungsi sebagai platform bagi usahawan tempatan agromakanan memasarkan produk mereka terus kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata penjenamaan semula itu juga akan dapat membantu peniaga memgembangkan perusahaan mereka dalam meningkatkan jaringan pasaran melalui penerokaan ruang pasaran yang baru bagi jualan bahan segar, bersih dan selamat pada kos harga berpatutan.

“Barang jualan di sini ditawarkan pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah dari harga pasaran tempatan.

“MyAgroNiaga mengumpulkan 57 usahawan tani termasuk pengusaha medan selera, beroperasi setiap hari Sabtu dari 7 pagi hingga 3 petang. Bagaimanapun, kekerapan masa operasi akan ditingkatkan bergantung kepada sambutan yang diterima dari masyarakat,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Program MyAgroNiaga di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Ishak Ismail dan Pengarah Fama Negeri Sembilan Muslim Manja.

Bakri berkata antara produk jualan di MyAgroNiaga adalah hasil pertanian, barangan runcit, Industri asas tani, nurseri, medan selera dan barangan kawalan.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.