Kerajaan diminta pertimbang agih RTP tanpa mengira fahaman politik

Utusan Borneo (Sabah) - - Sarawak -

KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta membuat pertimbangan untuk mengagihkan peruntukan RM500 juta projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam Belanjawan 2019 kepada semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak tanpa mengira fahaman politik.

Saranan itu disuarakan Ali Biju (PKR-Krian) ketika ucapan perbahasan Belanjawan 2019 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, peruntukan projek RTP itu hanya diberikan kepada wakil rakyat dari Gabungan Parti-parti Sarawak (GPS) atau sebelum ini dikenali parti komponen Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Saya sebagai wakil rakyat daripada kawasan luar bandar amat mengalu-alukan belanjawan negeri yang memberi tumpuan kepada kawasan luar bandar.

“Justeru, saya meminta jasa baik Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) agar mempertimbangkan peruntukan tersebut diagihkan kepada semua kawasan DUN di Sarawak, tanpa mengira fahaman politik untuk memastikan semua kawasan luar bandar di Sarawak mendapat kesaksamaan dan keadilan dari segi pembangunan,” katanya.

Malah, Ali Biju berkata, peruntukan itu amat bersesuaian memandangkan kawasan luar bandar masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan.

“Adalah amat tidak wajar untuk pilih kasih dalam menyalurkan peruntukan pembangunan kepada rakyat kerana polisi sedemikian menganaktirikan sebahagian warga Sarawak sendiri,” tegasnya.

Menyentuh tentang pelantikan tuai rumah, Ali Biju berkata, menurut tradisi masyarakat Iban, tuai rumah dipilih warga rumah panjang itu sendiri.

“Pemilihan ini berdasarkan adat ‘sempekat’ sesuatu rumah panjang tanpa campur tangan mana-mana pihak atau individu luar yang tidak ada ‘sempekat’ dengan rumah panjang tersebut,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap masalah kelewatan tuai rumah mendapatkan sijil sah pelantikan dapat diselesaikan segera kerana terdapat isu yang mana tuai rumah terpaksa menunggu selama satu hingga dua tahun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.