Polis terus komited perangi kegiatan jual loteri haram

Utusan Borneo (Sabah) - - Iklaneka -

KUCHING: Polis terus komited memerangi kegiatan menjual loteri (4D) haram di negeri ini apabila berjaya merekodkan 1,426 operasi serta nilai rampasan mencecah RM539,167 untuk tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Demikian menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Denis Leong yang turut memberitahu, seramai 1,553 individu ditahan dalam operasi tersebut.

Menurutnya, daripada jumlah operasi tersebut, Kuching mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 341 operasi, diikuti Miri (293), Padawan (202), Sibu (107), Bintulu (65), Kota Samarahan (56), Bau (51), Sarikei (48), Serian (44), Sri Aman (30), Limbang (26), Mukah (20), Meradong (16), Song (15), Marudi (14), Kanowit (12), Dalat, Lubuk Antu, Lawas dan Kapit masing-masing 10 operasi.

“Manakala Betong, Simunjan dan Saratok masingmasing sembilan operasi, diikuti Julau (8), Matu Daro (4), Lundu (3), Tatau (2) dan Belaga satu kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, untuk mengelakkan kegiatan tersebut berulang, polis bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk memutuskan bekalan elektrik di premis-premis yang didapati menjalani aktiviti perjudian.

“Kerjasama ini sudah dimulakan sejak Ogos lagi dan sebanyak 159 premis yang didapati menjual loteri haram telah diputuskan bekalan elektrik di seluruh negeri,” jelas Denis.

Justeru, beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian haram untuk melaporkan kepada Bilik Operasi Unit D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 082-274213.

“Selain itu, pihak kami juga sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa terutama premis yang sebelum ini pernah diserbu dan bekalan elektriknya telah dipotong.

“Ini untuk mengelakkan mereka masih berdegil dan meneruskan operasi dengan membuat pendawaian atau sambungan elektrik secara haram,” tegasnya.

Sementara itu, Polis Sarawak turut menjalankan kerjasama dengan syarikat menjual loteri berlesen di negeri ini iaitu Magnum, Sport Toto dan Cash Sweep untuk bersama-sama dalam membanteras kegiatan perjualan loteri haram tersebut.

“Kita telah mengadakan mesyuarat bersama wakil syarikat-syarikat terbabit pada petang ini (semalam) di IPK Sarawak untuk kita bersama-sama mencari jalan dalam menyelesaikan perkara ini,” kata Denis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.