Prospek negatif Petronas bukannya penurunan penarafan: Tony Pua

Utusan Borneo (Sabah) - - Bisnes -

KUALA LUMPUR: Pengesahan penarafan Moody’s Investor Service terhadap prospek Petronas daripada stabil kepada negatif semalam bukanlah satu penurunan, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua.

Menyifatkannya sebagai tidak bernasib baik, beliau berkata, ia bukan penurunan tetapi hanya prospek negatif.

“Kenyataan oleh agensi penarafan kredit tersebut ialah jika kerajaan terus mengambil wang seperti itu (pembayaran dividen khas satu kali) daripada Petronas (tahun demi tahun), maka penarafannya akan diturunkan.

“Mereka (Moody’s) bimbang ia akan menjadi lebih daripada satu kali. Di dalam kedudukan kerajaan, ini adalah satu kali,” katanya pada ucapan pasca Belanjawan 2019, ‘MenjalankanPerniagaan Dalam Malaysia Baru’ di sini, kelmarin.

Menurut Pua, Petronas mampu membayar dividen khas satu kali sebanyak RM30 bilion pada 2019 kerana rizab tunainya lebih daripada mencukupi.

“Rizab tunai tersebut tidak akan menjejaskan keupayaan Petronas untuk melabur dalam perbelanjaan modal pada masa depan,” katanya.

Pua juga berkata, agensi penarafan kredit, termasuk Fitch Ratings dan S&P Global Ratings memahami kedudukan kerajaan yang mempunyai defisit yang lebih rendah sebanyak 3.7 peratus kerana ia perlu membuat pembayaran balik cukai pendapatan dan GST berjumlah RM37 bilion.

“Mereka juga melihat bahawa kita mempunyai rancangan untuk memperbaiki defisit kepada 2.8 peratus pada 2021. Mereka menyatakan bahawa jika kita dapat mengikuti pelaksanaan penyatuan fiskal, dengan ketelusan yang lebih baik, kita akan berada dalam keadaan baik,” katanya.

Khamis lalu, Moody’s berkata, keputusan untuk mengubah prospek Petronas kepada negatif mencerminkan pandangannya bahawa profil kewangan syarikat tersebut mungkin merosot jika kerajaan terus meminta syarikat minyak negara itu untuk membuat pembayaran dividen yang tinggi, terutama jika harga minyak menurun.

Menurutnya, walaupun Petronas dapat menyokong pembayaran dividen yang diumumkan dalam belanjawan dan masih mengekalkan kedudukan tunai bersih, peningkatan selanjutnya dalam pembayaran dividen tidak boleh diketepikan.

Sementara itu, Pua berkata, platform pendanaan awam rakan sebaya (P2P), FundMyHome, bukanlah satu monopoli dan terbuka kepada pihak lain yang boleh menyediakan jenis platform yang sama.

Beliau berkata, terdapat salah faham mengenai portal FundMyHome yang dilancarkan baru-baru ini oleh pengendali portal hartanah yang berpangkalan di Malaysia, The Edge Property Sdn Bhd, dengan beberapa pihak mendakwa bahawa ia adalah satu monopoli.

“Seperti yang diumumkan menteri kewangan (Lim Guan Eng) dalam Belanjawan 2019, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan mengawal selia dan mengeluarkan lesen bagi platform pertukaran hartanah (platform pendanaan awam hartanah).

“FundMyHome hanyalah satu daripadanya, tetapi kita terbuka kepada pihak lain yang membentuk platform yang sama untuk menjadikan kemudahan ini tersedia kepada orang ramai, selagi mereka mematuhi peraturan SC,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran FundMyHome dibuat dua hari selepas pengumuman belanjawan bagi memberi publisiti kepada mekanisme tersebut.

“Pertimbangan utama adalah untuk dapat mewujudkan peraturan, melindungi pembeli rumah dan melindungi pelabur,” tambah Pua. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.