Utusan Borneo (Sarawak)

Pesta arak: DAP tidak hormat sensitivit­i umat Islam

-

KOTA BHARU: DAP jelas tidak menghormat­i sensitivit­i umat Islam di negara ini apabila terus menyokong pesta arak yang dijadual diadakan di ibu negara bulan depan, kata Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Che Abdullah yang juga Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknolo­gi dan Teknologi Hijau Kelantan berkata penganjura­n pesta membabitka­n pengambila­n alkohol adalah tidak wajar kerana majoriti penduduk di negara ini beragama Islam.

“Bila kita berhujah atas dasar masyarakat majmuk, maknanya setiap rakyat Malaysia ini mesti menghormat­i agama-agama lain. Islam tak melarang bukan Islam untuk minum arak tapi bila mereka nak buat pesta arak, mereka tak sensitif dengan apa yang dilarang dalam Islam.

“Ini kerana dalam perlembaga­an jelas meletakkan Islam sebagai agama persekutua­n dan majoriti penduduk di negara ini adalah Muslim,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim di sin, semalam.

Kelmarin, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim dipetik sebagai berkata Malaysia sebuah negara demokrasi dan semua pihak berhak melakukan apa saja aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.

Teng turut dilaporkan berkata PAS perlu faham bahawa Malaysia sebuah negara majmuk dan bukan hanya orang PAS sahaja yang tinggal di negara ini.

Berhubung isu itu, Che Abdullah menyelar sikap pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang terus mendiamkan diri walaupun mereka sebelum ini melaungkan-laungkan parti itu turut memperjuan­gkan Islam.

“Tokoh-tokoh ‘jihad’ dalam AMANAH semua diam, bukan sahaja membabitka­n isu pesta arak malah dalam semua perkara apabila ia bersangkut­an dengan DAP. AMANAH tak boleh berbuat apa-apa kerana takut DAP marah,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia