Utusan Borneo (Sarawak)

Penunggang motosikal kemalangan meninggal dunia ketika terima rawatan

-

KUCHING: Gara- gara dikatakan memotong kenderaan lain, seorang penunggang motosikal dirempuh dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) kelmarin.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Sarawak DSP Bingkok John berkata kejadian berlaku di Batu 15, Jalan Kuching- Kota Samarahan sekitar jam 8.45 malam.

Menurutnya, mangsa Charles Henry Joly, 23, dan berasal dari Kampung Stabut, Padawan semasa kejadian dalam perjalanan pulang dengan menunggang sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal (mangsa) dikatakan sedang memotong kenderaan lain dan memasuki laluan bertentang­an mengakibat­kan pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.

“Mangsa yang mengelami kecederaan parah itu kemudian dikejarkan ke Pusat Jantung HUS untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8 pagi tadi (semalam),” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya juga, mayat mangsa telah dituntut oleh keluargany­a untuk upacara pengebumia­n.

Siasatan lanjut pihak polis berhubung kemalangan tersebut masih dijalankan di Bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 20-an hampir maut selepas motosikal yang ditunggang­inya terlibat kemalangan di Jalan Puncak Borneo, Padawan sekitar jam 7.45 pagi semalam.

Menurut sumber, mangsa semasa kejadian dikatakan dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya apabila tidak sempat memberhent­ikan motosikaln­ya lalu merempuh belakang sebuah kenderaan 4WD.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah itu kemudian dihantar ke Klinik Kesihatan Bayur sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan HUS untuk rawatan lanjut,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di HUS.

 ??  ?? ROSAK: Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk akibat kemalangan tersebut.
ROSAK: Keadaan motosikal mangsa yang rosak teruk akibat kemalangan tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia