Penunggang terbunuh dalam kemalangan motosikal, kereta

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

SARATOK: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya, seorang wanita berusia 20 tahun, cedera parah selepas motosikal mereka bertembung dengan sebuah kereta di sini, petang kelmarin.

Kemalangan berlaku sekitar jam 4.30 petang di Kilometer 24 Jalan Kabong/Roban iaitu berhampiran kawasan Sungai Pasir.

Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok DSP Mordani Tanin berkata, mangsa yang maut ialah Satu Lidang, 50, manakala wanita yang cedera parah dikenali sebagai Kadi Ajun.

“Kedua-dua mangsa tersebut dari Rumah Langan, Ulu Sebetan.

“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai baharu balik daripada menziarahi ahli keluarga mereka yang meninggal dunia di salah sebuah rumah panjang dari kawasan Alit, dekat sini.

“Berdasarkan siasatan awal, ketika menuju ke arah Roban, secara tiba-tiba motosikal mereka dan kereta terbabit bertembung dari arah bertentangan,” kata Mordani dalam kenyataan kepada media, semalam.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal namun Satu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah kaki kanan.

Manakala, Kadi yang cedera parah dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan.

Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Saratok untuk proses selanjutnya, sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk dibawa balik ke rumah panjang.

Menurut Mordani lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

NAHAS MAUT: Kereta dan motosikal mangsa terbabas ke dalam parit dalam pertembungan maut di KM24 Jalan Kabong/Roban, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.