Malam Gemersik M’sia AWAS, RS1 sempena Hari M’sia dapat sambutan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

SIBU: Sempena menyambut Hari Malaysia, Angkatan Warisan Anak Sarawak (AWAS) dan pasukan Rancangan Sibu Pertama (RS1) menganjurkan Malam Gemersik Malaysia 2017 bertempat di Taman Harmoni malam kelmarin.

Majlis telah dirasmikan Penasihat AWAS, Musa Ainie serta dihadiri oleh pelbagai wakil badan bukan kerajaan (NGO) di sekitar bandar ini.

Antara wakil NGO yang hadir ialah Jeremiah Kelvin Tang dari Persatuan Teakwando Sibu, Wong Leh Bing (Persatuan Bola Keranjang Sibu), Tiong Leh Bing (Persatuan Badminton Remaja Sibu), Kapitan Yap Lee Hua (Persatuan Kaum Wanita Paradom) serta Bolhassan Ainie ( PEKIDA Bahagian Sibu).

Pengerusi pengelola majlis, Junaidi Sambang dalam ucapannya berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.

Program katanya, bagi memberi kesedaran kepada rakyat berbilang kaum bagi sama- sama menghayati erti kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh nenek moyang terdahulu.

“Pada masa sama, penting untuk kita sama-sama menjaga keharmonian serta perpaduan antara kaum negeri ini,” ujarnya yang merupakan Setiausaha AWAS Pusat.

Junaidi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan RS1 kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak AWAS dalam penganjuran tersebut.

“Kerjasama ini harus diteruskan dari masa ke semasa demi untuk mengeratkan perpaduan dan kesefahaman, selain bagi memupuk semangat setia kawan.

“Di samping itu kita juga dapat berhibur sambil menanam semangat cinta akan kepada negara,” jelas beliau.

Program dimulakan dengan acara memotong kek Hari Malaysia 2017, diikuti dengan penyerahan cenderamata kepada NGO yang terlibat.

Ini diikuti dengan persembahan deklamasi puisi merdeka daripada enam orang deklamator jemputan.

Bagi memeriahkan lagi Malam Gemersik Malaysia 2017, persembahan buskers dari kumpulan Tribal Tone turut diadakan, selain cabutan bertuah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.