Utusan Borneo (Sarawak)

160 peserta sertai kembara harta karun NPC-Perak 2017

-

KUALA LUMPUR: Seramai 160 peserta membabitka­n 40 kenderaan menyertai kembara mencari harta karun ‘World of Wonders’ Kelab Akhbar Kebangsaan ( NPC)- Perak 2017, yang berlepas ke Pulau Pangkor semalam.

Kembara itu yang diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2017 dilepaskan oleh Timbalan Presiden NPC Datuk Zukri Valenteno di Wisma Bernama di sini.

“Peserta kembara mencari harta karun ini akan mempelajar­i lebih lanjut tentang Perak kerana mereka perlu mengikuti laluan sejauh 300km ke destinasi akhir mereka, biasanya laluan yang jarang ditempuh. Semasa perjalanan ke Pulau Pangkor, peserta akan berhenti di beberapa lokasi seperti Istana Kellie di Batu Gajah dan lokasi kapal korek TT5 di Tanjung Tualang atau dikenali Tanjung Tualang Tin Dredge No. 5.

“Semua peserta akan bermalam di Puteri Bayu Beach Resort di Pulau Pangkor,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelepasan peserta kembara.

Kerajaan negeri Perak dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi sokongan penuh kepada kembara ini dan Zambry, selaku penaung acara itu, di- jangka menyampaik­an hadiah kepada pemenang.

Zukri berkata peserta yang terdiri daripada media dan agensi berkaitan media serta orang ramai akan bersaing untuk memenangi hadiah menarik termasuk wang tunai RM5,000, RM3,000 dan RM2,000 bagi tiga pemenang utama.

Kembara mencari harta karun ini bertujuan untuk mengumpulk­an sumbangan, Tabung Kebajikan Wartawan NPC.

“Dimulakan pada 2006, Tabung Kebajikan Wartawan ini membantu para wartawan dan anggota keluarga mereka menerusi sumbangan sekiran- ya berlaku kematian semasa tugasan atau ditimpa penyakit, sehingga kini lebih daripada 70 profesiona­l media termasuk wartawan, bekas wartawan dan jurugambar atau keluarga mereka menerima sumbangan daripada tabung ini di seluruh negara,” katanya.

Kembara mencari harta karun NPC adalah acara popular yang dianjurkan sejak 1994 dan menarik peserta dalam kalangan media dan pertubuhan berkaitan media serta orang awam.

Turut hadir pada majlis pelepasan itu, Naib Presiden NPC Muharyani Othman dan Pengerusi Penganjur M. Govind Nair. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia