Cari jalan kurang beban buku murid

Kementerian akan turut meneliti pendekatan dilaksana dalam sistem pendidikan Finland, kata Manyin

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page - Oleh Rusnan Mustafa

KOTA SAMARAHAN: Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Dato Sri Michael Manyin Jawong akan mencari pendekatan terbaik mengurangkan beban murid terpaksa membawa banyak buku sekolah selain buku teks di negeri ini.

Beliau memberitahu, adalah tidak betul tindakan membebankan murid terutama sekolah rendah dengan membawa pelbagai jenis buku ke sekolah setiap hari.

Mengambil contoh pendekatan dilaksanakan di Finland, Manyin berkata, pelajar tidak dibebani dengan buku mahupun kerja rumah diberikan guru.

“Antara sistem pendidikan terbaik di dunia adalah di Finland, pelajar tiada kerja rumah, mereka hanya duduk peperiksaan pada usia 16 tahun. Perkara ini kita akan selidik.

“Adalah tidak betul untuk membebankan murid dengan membawa buku lebih daripada 10 kilogram, kita tidak mahu murid menghafal tetapi memahami dan belajar,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penangguhan Persidangan Antarabangsa Penerbitan Buku Borneo 2017 di Audi- torium Universiti Malaysia Sarawak ( Unimas) di sini semalam.

Menyentuh mengenai cuti sekolah tahun hadapan dikatakan selepas Hari Gawai, Manyin berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Kementerian Pendidikan bagi mengetahui perkara sebe- nar.

“Tentang cuti sekolah saya tidak mahu ulas lebih lanjut, saya akan pergi ke Kuala Lumpur bertemu pihak berkaitan bagi mengetahui perkara sebenar.

“Dalam masa terdekat, saya ke sana dan akan maklumkan selepas perjumpaan kelak,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kemungkinan berlaku kesilapan seperti berlaku baru- baru ini mengenai tarikh Awal Muharam pada Jumaat berbanding hari Khamis seperti dicatat dalam kalendar.

Dalam perkembangan lain, Manyin berkata, tahun ini sebanyak 417 sekolah rendah di negeri ini mempunyai kurang daripada 10 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Dedahnya lagi, sebanyak 651 sekolah mempunyai murid kurang daripada 150 orang di negeri ini.

“Inilah menjadi tumpuan kita sekarang. Kita sedang memberi penerangan kepada ibu bapa untuk memusatkan sekolah seperti ini,” ujarnya.

Terdahulu, Manyin berharap peserta persidangan itu dapat menghasil dan menerbitkan buku tentang keunikan Borneo yang kaya khazanahnya, budaya, masyarakat dan pelbagai lagi.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Prof Dr Kopli Bujang dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Mohd Fadzil Abd Rahman.

Antara sistem pendidikan terbaik di dunia adalah di Finland, pelajar tiada kerja rumah, mereka hanya duduk peperiksaan pada usia 16 tahun. Perkara ini kita akan selidik. Dato Sri Michael Manyin Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan

TANDA KENANGAN: Manyin menerima cenderahati daripada Dr. Kopli sambil disaksikan oleh Profesor Mohd Fadzil (kanan).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.