Polis tahan beberapa individu dipercayai rancang serangan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

KUALA LUMPUR: Polis menahan beberapa individu di Kelantan dipercayai terlibat merancang melakukan serangan di negara ini. Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan perkara berkenaan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata satu kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Memang ada tangkapan dibuat dan mempunyai kai- tan dengan usaha mereka (suspek) melakukan serangan di sasaran tertentu,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai tangkapan melibatkan pelajar sekolah yang dipercayai memiliki dan mempunyai kemahiran menghasilkan bahan letupan di Kelantan.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata sebanyak 27 laporan polis telah diterima sebagai bantahan kepada perhimpunan ‘Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ yang dirancang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya hari ini.

Katanya, pihaknya tetap tidak membenarkan perhimpunan berkenaan meskipun Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah memberi kebenaran.

“Kami tidak setuju perhimpunan di situ walaupun MBPJ telah beri kebenaran kepada penganjur berhimpun kerana mengambil kira pelbagai faktor antaranya kesesakan lalu lintas,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dua anggota polis trafik yang maut selepas terlibat dalam kemalangan di KM 139 Jalan Kuala TerengganuKuantan kelmarin beliau berkata pihaknya akan mengkaji punca sebenar kejadian.

“Saya telah arahkan Ketua Polis Terengganu ( Datuk Aidi Ismail) melihat perkara ini secara terperinci agar ia tidak berulang. Mungkin dari segi pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) ada kelemahan,” katanya.

Dalam kejadian pada jam 2.55 petang kelmarin, SM Abdul Hakim Samingan, 54, dan Kpl I. Suresh, 36, maut di tempat kejadian setelah dirempuh sebuah lori jenis Kia yang memasuki laluan konvoi yang disertai dua mangsa terbabit.

Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak, di sini.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Arcyl Sani Abdullah Sani menggantikan Pengarah StaRT selepas Datuk Seri Abd Manan Mhd Hassan bersara wajib kelmarin setelah berkhidmat hampir 41 tahun dalam pasukan polis.

Sementara itu, Datuk Amar Singh Ishar Singh yang pada masa ini masih memegang jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur dilantik sebagai Pengarah JSJK yang baharu. Jawatan baharu Acryl Sani dan Amar Singh akan berkuat kuasa 9 Nov ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.