Jenazah Syzlin dijangka tiba dari Peru Selasa ini

Utusan Borneo (Sarawak) - - Nasional -

JOHOR BAHRU: Jenazah Syzlin Hataman, warga Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan pernah dipenjara di Peru dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa ini.

Syzlin, 43, meninggal dunia di Hospital Nacional dos de Mayo, Lima pada 6.50 petang waktu Peru (7.50 pagi waktu Malaysia) pada 7 Okt lepas kerana komplikasi beberapa penyakit.

Dia yang berasal dari Johor dipenjara dan terkandas di negara itu sejak lapan tahun lalu turut menghidap asma dan kencing manis.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jenazah dijangka tiba menerusi penerbangan KLM pada petang Selasa sebelum dibawa ke Masjid Tun Hussien Onn, Larkin untuk disembahyang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh.

“Kita doakan segala perancangan pengurusan jenazah dan penghantaran pulang dalam tempoh dua minggu ini dapat diselesaikan. Ketika ini jenazah Allahyarham Syzlin sedang diuruskan oleh wakil kedutaan kita di Peru termasuk dimandikan dan diawet sebelum menaiki pesawat.

“BiKUM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan penghantaran jenazah termasuk Wisma Putra, Badan Perhubungan UMNO Johor dan UMNO Bahagian Johor Bahru walaupun urusannya agak rumit,” katanya kepada pemberita

Beliau bertemu ibu saudara Syzlin, Robiah Abdullah di Larkin Jaya yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Pengerusi Biro Kebajikan Wanita UMNO Bahagian Johor Bahru, Faridah Mustafa.

Shamsul Anuar berkata pada peringkat awal, penghantaran jenazah Syzlin mahu dilakukan dengan menggunakan kapal laut, namun selepas perbincangan ia ditukar kepada penggunaan kapal terbang supaya perjalanannya lebih cepat.

Beliau berkata, segala kos pengurusan jenazah termasuk permit sudah dijelaskan dengan kesemuanya ditanggung oleh BiKUM dan dibantu Badan Perhubungan UMNO Johor serta UMNO Bahagian Johor Bahru.

“Apa yang penting semua pihak perlu maklum bahawa Allahyarham Syzlin yang menghidap asma dan kencing manis merupakan mangsa sindiket pengedaran dadah dan kejadian menimpa Allahyarham perlu dijadikan iktibar semua rakyat bagi mengelakkan daripada menerima nasib sama.

“Saya bersyukur dengan penglibatan semua pihak. Ini merupakan tanggungjawab yang perlu kita lakukan. Kita penuhi hajat Allahyarham, ibu saudara dan keluarganya untuk membawa pulang Allahyarham ke tanah air,” katanya.

Mengenai dua lagi rakyat Malaysia yang turut terkandas di Peru iaitu Noor Suzanna Azmi, 35, dan Noor Aziman Sapie, 37, Shamsul Anuar berkata urusan membawa pulang kedua-duanya akan dilakukan selepas urusan pengkebumian jenazah Syzlin selesai.

“Kalau hendak bawa balik kedua-duanya memang mudah dan bila-bila masa boleh dilakukan, tetapi oleh kerana hendak bawa balik suami dan anak-anak mereka yang bukan rakyat Malaysia, kena ada proses dokumentasi dan peraturan kerajaan Peru.

“Salah seorang daripada mereka ada anak daripada bekas suami yang masih dalam tahanan penjara. Kita perlu kebenaran dan sebagainya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.