Ketua bola sepak PSG dan bekas eksekutif FIFA bakal disiasat

Utusan Borneo (Sarawak) - - Sukan -

GENEVA: Pendakwa raya Swiss telah membuka siasatan rasuah jenayah yang menyasari ketua kelab bola sepak Paris SaintGermain ( PSG) Nasser Al-Khelaifi dan bekas eksekutif FIFA, Jerome Valcke, berhubung penjualan hak media bagi kejohanan Piala Dunia akan datang. Pejabat peguam negara Swiss (OAG) berkata siasatan itu dibuat pada Mac lalu dan berkisar sekitar dakwaan ter- masuk rasuah, penipuan, salah pengurusan dan pemalsuan dokumen.

Pendakwa raya menyatakan Al-Khelaifi, seorang eksekutif sukan yang berpengaruh dari Qatar dan juga ketua beIN media, disyaki hanya bagi tindakan yang diambil selaku ketua kumpulan media sukan itu, yang beroperasi di lima buah benua.

Badan penyiaran Qatar itu mengeluarkan satu kenyataan yang menafikan sebarang salah laku dan pada waktu yang sama mengesahkan pihak berkuasa Perancis telah menyerbu pejabat syarikat itu di Paris atas permintaan Swiss.

“beIN Media Group menyangkal semua tuduhan yang dibuat oleh OAG. Syarikat kami akan bekerja sama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan yakin mengenai perkembangan siasatan ini pada masa depan,” ia menyebut dalam satu kenyataan.

PSG, yang menarik perhatian pada Ogos lalu kerana memecah rekod harga ketika ia membeli superstar Brazil, Neymar, tidak dibabitkan dalam siasatan ini.

Valcke, yang merupakan orang kanan Sepp Blatter di FIFA, menafikan dakwaan berkenaan dalam satu temu ramah dengan akhbar sukan Perancis, L’Equipe, semalam.

“Mereka kata bayaran telah dibuat oleh Nasser kepada saya sebagai balasan bagi penjualan hak pada kadar istimewa. Namun saya tidak menerima apa-apa dari Nasser,” katanya kepada akhbar itu.

“Pertukaran tidak pernah ada di antara Nasser dengan saya. Tidak pernah.”

Valcke meninggalkan pejabat peguam negara Swiss pada petang kelmarin setelah disoal siasat sebagai suspek dan “mempertikaikan semua dakwaan”, kata peguamnya kepada AFP.

“Dia keluar dengan bebas, tiada langkah paksaan terhadapnya mahupun sebarang bayaran ikat jamin,” kata Stephane Ceccaldi.

OAG berkata kes itu mempunyai suspek ketiga tetapi mengenal- pastinya hanya sebagai “seorang ahli perniagaan dalam sektor hak sukan”. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.