PERSIAPAN SUKSAR 2017 LANCAR

Semua kontinjen dari empat zon telah memuktamadkan senarai atlet bakal bersaing

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page - Oleh Harry Ilias

KUCHING: Persiapan penganjuran Sukan Sarawak (SukSar) 2017 dijadualkan berlangsung dari 14 hingga 17 Disember depan memasuki fasa terakhir dengan semua kontinjen dari empat zon memuktamadkan senarai atlet yang bakal bersaing.

Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO) Perbadanan Sukan Sarawak ( SSC), Dr Ong Kong Swee mengumumkan perkara tersebut semasa mempengerusikan mesyuarat SukSar 2017 di Stadium Negeri, Petra Jaya di sini bersama ketua-ketua kontinjen dari empat zon terlibat dan jawatankuasa penganjur.

“Tarikh akhir menghantar senarai atlet pada 15 November ini, namun kita telah menerima senarai dari kontinjen terlibat menggambarkan kesediaan mereka bertanding pada SukSar 2017 nanti,” katanya di sini semalam.

Majlis perasmian diadakan pada 14 Disember depan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini manakala penutupan dijadualkan pada 17 Disember di venue sama.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) itu berkata, seramai 828 atlet mengesahkan penyertaan pada SukSar kali ini dengan Zon Selatan dari Kuching, Samarahan dan Serian menghantar kontinjen terbesar seramai 235 atlet.

Zon Tengah diwakili Sibu, Kapit dan Mukah menghantar seramai 220 atlet, Zon Utara (200 atlet) dipilih dari Miri, Bintulu dan Limbang manakala Zon Barat dari Sarikei, Betong dan Sri Aman seramai 173 atlet.

“Kebanyakan kontinjen telah melengkapkan pemilihan atlet dan ada yang mengadakan latihan berpusat sebelum bertolak ke Kuching pada 12 Disember nanti,” katanya sambil melahirkan rasa puas hati dengan persiapan kontinjen-kontinjen terlibat.

Sebanyak 14 acara sukan dipertandingkan pada SukSar 2017 iaitu angkat berat, badminton, berbasikal, bola baling, boling padang, judo, karate, memanah, muaythai, olahraga, rugbi, renang, petanque dan sepak takraw wanita.

Ini termasuk empat acara sukan untuk atlet para iaitu renang, olahraga, angkat berat dan memanah.

Pada mesyuarat itu, kontin- jen-kontinjen diberi taklimat mengenai perkampungan sukan atlet di Kolej Rafflesia Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) manakala pegawai teknikal dan pasukan di Pusat Latihan INTAN, Kota Samarahan.

“Atlet-atlet akan menggunakan 11 dari 17 blok tempat penginapan di Kolej Rafflesia UNIMAS dan kita mewajibkan jurulatih tinggal bersama dengan mereka,” ujarnya.

Ong menjelaskan, mesyuarat terakhir melibatkan semua ketua kontinjen akan diadakan pada 30 November ini dan beberapa aktiviti diadakan bagi mempromosikan kejohanan tersebut.

SukSar dianjurkan semula bagi mencungkil bakat-bakat baharu selain menjadi medan pemilihan atlet-atlet mewakili Sarawak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA 2018) di Perak.

Kebanyakan kontinjen telah melengkapkan pemilihan atlet dan ada yang mengadakan latihan berpusat sebelum bertolak ke Kuching pada 12 Disember nanti. Dr Ong Kong Swee Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawa

BERSEDIA: Ong (tengah) bersama Residen dari Kuching, Sibu, Sarikei, Miri, Betong, Sri Aman, Samarahan, Serian dan jawatankuasa penganjur pada mesyuarat SukSar 2017 semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.