Sibu perlukan lebih banyak penerbangan
KUCHING: Sibu sebagai pintu laluan bagi bahagian tengah Sarawak adalah sama penting dengan Kuching di selatan dan Miri di utara dalam hal berkaitan pelancongan.
Atas sebab itu, Datuk Tiong Thai King (BN-Dudong) berharap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan dapat terus mempromosikan industri pelancongan di wilayah tengah.
Ini termasuk peruntukan, promosi, program jangka pendek, holistik dan kemasukan spesifik Sibu dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri dalam jangka panjang.
“Majlis Perbandaran Sibu telah mengambil inisiatif menganjurkan Tahun Melawat Sibu 2017 dan telah berjaya menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Kami bersedia menerima pengunjung tempatan dan luar tetapi agak malang di mana sehingga kini kami belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan berhubung petisyen kami untuk polisi udara terbuka bagi mewujudkan lebih banyak rangkaian udara langsung dan berpatutan dengan bandar seperti Miri, Kota Kinabalu dan Singapura.
“Sehingga perkara ini direalisasi, industri pelancongan di Sibu akan terus berdepan cabaran daripada aspek tambang mahal, kos penyambungan yang tinggi dan sebagainya.
“Pada masa yang sama, Kementerian Pengangkutan Malaysia baharu mengumumkan bahawa selepas kajian oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ke atas perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak, di mana MASwings akan menghentikan enam laluan di Sabah Sarawak pada tahun depan bagi memberi laluan kepada penerbangan komersial.
“Enam laluan ini ialah Kota Kinabalu- Sandakan, Kota Kinabalu-Tawau, Kota Kina- balu- Miri, Kuching- Miri, Kuching-Kota Kinabalu dan Kuching-Sibu,” katanya.
Tiong berkata demikian dalam ucapan perbahasannya ke atas Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Tambah Tiong, rakyat di Sibu telah menyuarakan harapan mereka agar dua laluan iaitu Sibu-Miri dan Sibu-Kota Kinabalu tidak ditamatkan operasinya dan berharap akan dipertimbangkan sebagai laluan di bawah perkhidmatan udara luar bandar dan terus disediakan oleh MASwings.