Sekolah agama perlu berdaftar dengan MIS

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page - TEMPATAN

KUCHING: Penubuhan sekolah agama di negeri ini perlu berdaftar dengan Majlis Islam Sarawak (MIS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemorengn Datuk Dr Juanda Jaya berkata segala bentuk pengajian Islam yang dilakukan di premis harus dimaklumkan kepada badan agama negeri sebelum memulakan operasi.

Malah tenaga pengajar juga harus mempunyai kelayakan dan akreditasi daripada pihak berkaitan.

“Para guru yang mengajar di sekolah agama mesti mempunyai kelayakan dan mendapat akreditasi daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menjelaskan perkara itu, Juanda yang juga timbalan yang dipertua MIS menegaskan tidak mahu terdapat unsur negatif diterapkan dalam sesi pembelajaran.

“Kita bimbang terdapat unsur tidak betul (ajaran sesat) menular dalam sesi pembelajaran.

“Perkara ini amat penting dan perlu dititikberatkan bagi menangani isu itu,” tegasnya.

Apa yang penting katanya, keselamatan anak-anak menjadi keutamaan sebelum mereka dihantar bersekolah di institusi pengajian agama.

Bercakap mengenai isu larangan kemasukan ekstremis agama ke negeri ini, beliau berkata ia merupakan perkara yang serius.

Di Sarawak katanya, mempunyai tahap keharmonian dan perpaduan kaum yang tinggi sejak sekian lama.

Sehubungan itu, larangan terhadap penceramah agama yang disifatkan sebagai ekstrem adalah tepat kerana tidak mahu elemen negatif dan sensitif masuk ke Sarawak.

“Setakat ini tidak ada kes ekstremis agama berlaku di negeri ini, tetapi kita harus sentiasa berjaga-jaga bagi mengelak pengaruh negatif berlaku di Sarawak,” katanya.

DAFTAR: Juanda ketika ditemui semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.