BAHAYA MEMOTONG DARI SEBELAH KIRI

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page -

SERIAN: Seorang penunggang motosikal terbunuh selepas dilanggar lori yang dipercayai cuba dipintasnya dari sebelah kiri dalam insiden di Kilometer 78 Jalan Kuching-Sri Aman semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Bingkok John berkata, mangsa Helmio Kuling, 26, dari Kampung Ensebang Plaie, Serian semasa kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu menunggang motosikal bersama seorang gadis berusia 14 tahun.

“Kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal cuba memotong lori berkenaan dari sebelah kiri semasa lori tersebut sedang membelok masuk ke satu tapak projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Penunggang motosikal (mangsa) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah di bahagian tangan kiri dan kecederaan dalaman,” kata Bingkok.

Tambahnya, pembonceng motosikal yang turut cedera parah di pinggang dan kaki dikejarkan menaiki ambulans ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serian untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk upacara pengebumian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata Bingkok.

MAUT: Anggota paramedik memeriksa keadaan mangsa sebelum mengesahkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.