DIBELASAH SELEPAS DITUDUH PEGANG PUNGGUNG WANITA

Utusan Borneo (Sarawak) - - Front Page -

SIBU: Seorang lelaki cedera parah dibelasah tiga lelaki selepas dituduh memegang punggung teman wanita salah seorang suspek.

Kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi Ahad lalu di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Pahlawan apabila mangsa, 35, bersama seorang rakan ingin beredar tetapi ditahan oleh seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zailanni Amit berkata, mangsa dibelasah selepas menafikan tuduhan memegang punggung juruwang pusat hiburan terbabit yang juga teman wanita salah seorang suspek.

“Polis telah menangkap tiga daripada empat suspek termasuk seorang pemilik pusat hiburan, deejay dan wanita terbabit di lokasi berasingan,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Zailanni berkata, kesemua suspek berumur 21, 41 dan 24 tahun, manakala suspek keempat, 23, ditahan petang semalam.

Menurut beliau, mangsa dihantar ke hospital selepas kejadian kerana kecederaan termasuk lebam di mata kiri, siku, bibir bengkak dan benjol di dahi.

“Mangsa juga disahkan oleh doktor mengalami retak tulang bahu kanan, manakala sendi tangan kanannya terkehel,” katanya.

Zailanni berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah.

SIBU: Seorang lelaki cedera di kepala apabila batang paip terjatuh menimpanya ketika melakukan pemunggahan di Jalan Ding Lik Kwong di sini, pagi semalam.

Mangsa, berbangsa Bidayuh, 25, tersungkur pengsan seketika selepas batang paip yang sedang diangkat menghempap kepalanya sekitar jam 7.30 pagi.

Mangsa yang turut mengalami pendarahan di bahagian bibir kemudian digegaskan ke hospital untuk mendapatkan rawatan pada jam 8 pagi.

Mangsa telah dimasukkan ke wad dan keadaannya kini stabil selepas menerima rawatan.

MASUK LOKAP: Polis menahan pemilik pub dan wanita terbabit di sebuah kedai kopi di Jalan Hua Kiew sejurus kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.