Lelaki pecah masuk stesen minyak dicekup polis

Kelibat suspek warga Indonesia dilihat oleh orang awam berada dalam stesen minyak sekitar jam 4 pagi

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

KUCHING: Hasil keprihatinan masyarakat, polis berjaya menangkap seorang lelaki warga Indonesia yang dilihat memecah masuk sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abang Haji Openg di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan melihat kelibat seseorang berada di dalam stesen minyak berkenaan sekitar jam 4 pagi.

Bertindak atas laporan tersebut, sepasukan anggota dari Unit kereta Peronda Polis (MPV)Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bergegas ke lokasi kejadian dan ternampak seorang lelaki melarikan diri dengan melompat keluar dari pagar stesen minyak tersebut.

“Anggota dari Unit K9 (Anjing Pengesan) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) juga dikerahkan ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek bersembunyi di kawasan tapak pembinaan tempat letak kereta Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Suspek yang merupakan warga Indonesia dikatakan bertindak agresif menyebabkan berlaku pergelutan sebe- lum dia berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada suspek, namun polis berjaya merampas semula beberapa barang yang dipercayai dicuri suspek dari stesen minyak tersebut.

“Suspek mendakwa dirinya berasal dari Lampung Tengah Jawa Tengah, Indonesia dan berusia 25 tahun.

“Turut dirampas daripada suspek ialah 25 kotak rokok berjenama yang disyaki dicuri suspek dari premis berkenaan,” jelasnya.

Suspek yang turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badan kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan sebelum ditahan di lokap polis untuk membantu siasatan.

Difahamkan, laporan polis berhubung kejadian tersebut juga telah dibuat oleh pekerja stesen minyak itu untuk siasatan lanjut.

Suspek yang merupakan warga Indonesia dikatakan bertindak agresif menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditangkap. Superintenden Abang Junaidi Abang Anuar Timbalan Ketua Polis Daerah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.