Guru bersalah memandu berbahaya diikat jamin sementara tunggu rayuan

Utusan Borneo (Sarawak) - - Tempatan -

SIBU: Seorang guru wanita yang didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan memandu secara berbahaya kelmarin, dibenarkan bebas dengan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Hakim Dato Lee Heng Cheong membenarkan tertuduh, Wong Ching Ching, 42, bebas dengan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin sementara tertuduh membuat rayuan.

Wong telah menfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi menerusi peguamnya, Yap Hoi Liong, terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan.

Kelmarin, Majistret Sofia S. Sawayan menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap Wong selepas perbicaraan penuh kes.

Mahkamah turut mengenakan hukuman denda RM5,000 terhadap tertuduh atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun.

Wong didakwa memandu secara berbahaya di hadapan sebuah sekolah di Jalan Deshon, serta menyebabkan kematian seorang pelajar berusia 15 tahun empat bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Mac 2014, kira-kira jam 6.10 pagi.

Bagi pertuduhan itu, Wong didakwa mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.